Selepas mengharungi detik cemas dalam aksi awal peringkat kumpulan A, Stephen Van Huizen mungkin boleh menarik nafas lega seketika apabila menamatkan saingan dikedudukan ketiga selepas melengkapkan jadual dengan kemenangan kedua selepas membelasah China 5-1.

Semangat kejayaan menundukkan Korea Selatan jelas tidak luntur di hati pemain pemain negara yang hanya memerlukan seri untuk mengesahkan slot ke pusingan kalah mati.

Berdepan China, tiada ruang mudah diberikan, sebaliknya Malaysia mendahului menerusi jaringan padang Faizal Saari yang melakukan gerakan solo selepas bijak menyambar hantaran Muhammad Razie Rahim di minit kedua perlawanan.

Tiga minit sebelum tamat suku pertama, giliran Najmi Farizal Jazlan melebarkan kedudukan kepada 2-0 untuk Malaysia menerusi pukulan sudut penalti.Razie membuktikan ketajamannya di depan gawang apabila meledak dua gol, bermula di minit ke 20 hasil pukulan sudut penalti disusuli gol keempat untuk Malaysia menerusi penalti stroke tiga minit berselang.

Selesa dengan empat gol, pertahanan negara tampak longlai sekaligus memberi ruang kepada pemain China untuk mengatur gerakan.

China diperolehi menerusi pukulan penalti Du Talake pada minit ke-43 selepas Najmi dipersalahkan kerana mengkasari pemain China.

Namun ianya tidak memberikan tekanan sebaliknya pengadil perlawanan sekali lagi menghadiahkan penalty stroke kepada The Speedy Tigers yang disudahkan Fitri Shaari di minit ke 51 untuk kedudukan 5-1 memihak skuad kendalian Stephen Van Huizen.

Kemenangan itu sekaligus memberikan tiga mata berharga untuk Malaysia sekaligus menghuni tangga ketiga dibelakang England dan Argentina.

Malaysia akan bertemu tuan rumah Piala Dunia 2018, India diperingkat suku akhir esok, jam 1030 malam waktu Malaysia.

Mengikut format perlawanan, empat pasukan teratas akan mara ke pusingan akhir Liga Hoki Dunia di Bhubaneswar, Disember ini dan hanya tiga pasukan akan layak sekiranya India, selaku tuan rumah, gagal menghuni empat tempat teratas. – OLEH KU MOHD LUFTI

- Advertisement -