Guilherme De Paula
PDRM’s Guilherme De Paula

Oleh Muhammad Aiman

Pemain pinjaman dari Felda United, Thiago Augusto tidak menunggu lama untuk membawa impak apabila menjaringkan gol kemenangan Kedah ke atas Sarawak dalam aksi tegang Kumpulan A Piala Malaysia yang menyaksikan tujuh gol terhasil di Stadium Darul Aman, pada Rabu.

Thiago yang menyertai Kedah selepas terpaksa diketepikan pada saat akhir oleh Felda, meledak jaringan pada minit ke-66 untuk Lang Merah mencatat kemenangan 4-3 dan lebih menarik pemain itu terlibat dalam terhasilnya kesemua tiga jaringan Kedah sebelum itu.

Pemain kelahiran Brazil itu mendapatkan sepakan penalti yang disempurnakan Liridon Krasniqi pada minit ke-15 untuk gol pendahuluan Kedah, namun Sarawak menjaringkan dua gol pantas menerusi Ndumba Makeche pada minit ke-25 dan Nursyahmi Iszuan pada minit ke-29 untuk mendahului 2-1.  

Thiago terus menjadi duri dalam daging buat sang Bujang Senang apabila sekali lagi mendapatkan penalti buat Kedah pada minit akhir babak pertama, yang turut membawa kepada layangan kad merah terhadap kapten Sarawak, Hairul Mokhtar.

Liridon mudah menyempurnakannya untuk mengikat kedudukan 2-2 namun ketegangan berlarutan menuju ke bilik persalinan berikutan bantahan dari kem Sarawak, menyaksikan jurulatih Sarawak, David Usop pula diperintah meninggalkan padang.

Beraksi 10 pemain tidak melunturkan semangat juang tinggi Sarawak yang kembali mendahului pada minit ke-48 menerusi rembatan jarak jauh Makeche tetapi ia hanya bertahan empat minit apabila Baddrol Bakhtiar menyamakan kedudukan 3-3 setelah menerima umpanan Thiago.

Kedah mengesahkan tiga mata milik mereka hasil tandukan Thiago pada minit ke-66 sekaligus melonjak selaku pendahulu Kumpulan A, mengatasi T-Team dan JDT II yang mencatat keputusan seri 2-2 dalam aksi yang berlangsung Selasa.

Sementara itu, aksi Kumpulan C membabitkan pertemuan di antara Perak dan PDRM di Ipoh, tuan rumah tewas dengan jaringan 1-2.

PDRM mendahului 1-0 menerusi jaringan penalti seawal minit keempat oleh Guilherme De Paula sebelum Perak membalas menerusi Xhevahir Sukaj pada minit ke-21.

Pasukan pelawat bimbingan Fauzi Pilus menjaringkan gol kemenangan menerusi Safwan Baharudin pada minit ke-49 namun terpaksa menamatkan perlawanan dengan 10 pemain setelah pemain tengah Mohd Lot Abu Hassan diperintah keluar padang pada minit ke-87.   

- Advertisement -