JAWATANKUASA Pengelola Sukan Malaysia XX MSN 2022 tidak pernah berkompromi dengan mana-mana atlet didapati gagal dalam ujian doping yang secara automatik tidak dibenarkan untuk bertanding pada edisi temasya kali ini.

Bagi sukan angkat berat di SUKMA kali ini, semua atlet diwajibkan menjalani ujian doping 30 hari sebelum kejohanan sebagai langkah pencegahan demi memastikan hanya atlet yang bebas daripada pengambilan bahan terlarang dibenarkan bersaing.

Inisiatif ini diperkenalkan secara bersama di antara Majlis Sukan Negara (MSN) dan Persatuan Angkat Berat Malaysia (PABM) sejak SUKMA 2018 serta diteruskan untuk penganjuran temasya kali ini.

Perlu dimaklumkan bahawa ketika ujian 30 hari sebelum pertandingan bermula itu diadakan, tiada peraturan ditetapkan PABM untuk membatalkan penyertaan seluruh pasukan jika ada mana-mana atlet pasukan gagal ujian berkenaan.

Jawatankuasa Khas Teknikal Sukan Malaysia XX MSN 2022 hanya dimaklumkan pada 13 September 2022 mengenai ketetapan PABM membatalkan penyertaan keseluruhan pasukan jika ada mana-mana atlet gagal ujian doping. Makluman

itu diterima enam hari sebelum acara angkat berat dijadualkan berlangsung pada SUKMA kali ini.

Ketetapan pembatalan seluruh pasukan oleh PABM itu juga adalah yang pertama seumpamanya di dunia, berbeza dengan peraturan saingan di peringkat antarabangsa yang hanya membatalkan penyertaan atlet yang terbukti gagal ujian doping.

Mesyuarat Ketua-ketua Kontinjen pada 15 September 2022 telah membincangkan peraturan terbaru PABM itu dan sebulat suara bersetuju membenarkan penyertaan semua pasukan dengan atlet yang lulus ujian doping.

Pihak penganjur juga telah berbincang dengan Presiden PABM, Datuk Ayub Rahmat, sebelum taklimat sukan angkat berat pada 18 September 2022 selain menjelaskan peraturan terbaru itu tidak terkandung dalam Peraturan Tetap SUKMA, Peraturan Am SUKMA dan Peraturan Pertandingan Acara Angkat Berat SUKMA 2022 yang dimuktamadkan bersama PABM sebelumnya.

PABM bagaimanapun bertegas dan satu mesyuarat Jawatankuasa Khas Teknikal SUKMA dipanggil pada hari sama untuk membincangkan arahan pembatalan penyertaan dua pasukan, selain pendirian PABM tidak membenarkan semua pegawai teknikal bertugas sekiranya dua pasukan itu dibenarkan bertanding.

Mesyuarat dihadiri semua Pengarah Majlis Sukan Negeri-negeri itu sebulat suara bersetuju meneruskan acara angkat berat SUKMA disertai semua pasukan dan memberi mandat pengurusan acara kepada Jawatankuasa Khas Teknikal

SUKMA. Ianya atas dasar mengutamakan kepentingan atlet yang sudah terbukti bersih dan berhak menyertai SUKMA kali ini.

Jawatankuasa Pengelola berdukacita dengan keputusan PABM melarang pembabitan pegawai-pegawai teknikal daripada mengendalikan acara-acara sukan angkat berat. Namun penganjuran tetap diteruskan demi memberi peluang kepada atlet yang bersih bersaing di temasya SUKMA kali ini.

Jawatankuasa Pengelola Sukan Malaysia XX MSN 2022 tidak pernah berkompromi terhadap mana-mana atlet didapati positif ujian doping. Pendirian terbaru PABM itu dihormati dan ianya boleh dilaksanakan sekiranya dimasukkan secara rasmi dalam Peraturan Sukan Malaysia dan setiap negeri dimaklumkan perkara tersebut.

Jawatankuasa Pengelola

Sukan Malaysia XX MSN 2022

20 September 2022

- Advertisement -