Beregu lelaki utama negara Aaron Chia- Soh Wooi Yik gagal memberikan saingan sebenar menentang beregu Indonesia Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto di separuh akhir Perodua Masters Malaysia apabila tumbang dalam pertembungan 3 set, yang berlangsung di Axiata Arena Bukit Jalil hari ini.
Apa yang ditampilkan dua seteru ini corak permainan “fast and furious”, masing-masing dengan kepantasan pergerakkan dan smash tajam untuk mencari mata.
Set pertama Alfian-Ardianto lebih agresif banyak mengasak pertahanan Aaron-Wooi Yik, sehingga pasangan Indonesia itu mendahului 18-9, sebelum tamatkan set pertama memihak kepada wakil Indonesia itu 21-14.
Di set kedua, giliran Aaron-Wooi Yik lebih agresif sehingga mampu mendahului 11-5 dengan Alfian-Ardianto sikit memperlahan permainan mereka. Namun beregu ranking ke-5 dunia itu mula merapatkan jurang mata, sebelum Aaron-Wooi Yik berjaya tamatkan set kedua dengan 21-19 untuk ke rubber set.
Keinginan tinggi nyata milik wakil Indonesia yang mendominasi set ketiga sehingga memastikan kemaraan ke final hasil keputusan 21-10.
“Set ketiga kita gagal dapat rentak dan lawan angin, mereka pula cepat ambil kesempatan, memang kita banyak buat kesalahan dan tidak dapat kawal keadaan…kami perlu baiki dan analisa permainan kami lagi selepas ini,” kata Aaron.
Sementara itu, beregu wanita negara, M.Thinaah-Pearly Tan tewas kepada pasangan nombor satu dunia dari China Chen Qing Chen-Jia Ye Fan, 10-21, 19-21 di separuh akhir.
Menurut Pearly mereka cuba untuk memberikan saingan daripada awal namun lawan mereka nyata lebih berpengalaman dalam mengawal keseluruhan permainan.
“Kita cuba menyaingi kepantasan dan agresif mereka tetapi kami sedikit ketinggalan…walaupun kita cuba untuk bermain dengan lebih tenang tapi kelebihan tetap memihak kepada mereka,” kata Pearly Tan.
- Advertisement -