Peminat badminton berpeluang menyaksikan aksi bintang dan pasukan berkelas dunia pada Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) Selangor 2022 secara percuma di Pusat Konvensyen Setia City (SCCC) bermula 15 hingga 20 Februari ini.

Tiket masuk dikeluarkan secara percuma buat orang ramai menerusi pendaftaran di laman web https://selangorbatc2022.com.

BATC 2022 mempunyai signifikan tersendiri kerana merupakan kejohanan badminton antarabangsa yang pertama dianjurkan di Malaysia dalam tempoh dua tahun ini ekoran sekatan penganjuran sebarang acara sukan disebabkan pandemik Covid-19.

Begitupun, jumlah tiket dan tempat duduk untuk penonton adalah terhad disebabkan pematuhan kepada Prosedur Standard Operasi ketat yang ditetapkan penganjur bagi memastikan keselamatan dan mengawal jangkitan Covid-19 di venue pertandingan dan kawasan sekitar.

Kejohanan enam hari itu akan berlangsung dalam dua sesi dan tempahan tiket bagi kedua-dua sesi pagi dan petang akan hanya dibuka sehari sebelum setiap pertandingan bermula jam 12 tengahari dan tutup pada 11.59 malam.

Bagi yang berjaya menempah tiket menerusi laman web, tiket elektronik akan dihantar menerusi emel masing-masing. Tiket perlu dibawa bersama-sama dengan Kad Pengenalan atau nombor pasport sebagai bukti untuk memasuki venue kejohanan.

Pemilik tiket mesti mematuhi segala SOP yang ditetapkan termasuk mengimbas Sijil Vaksinasi Digital MySejahtera, memakai pelitup muka dan memastikan penjarakan fizikal sepanjang berada di venue pertandingan.

Menurut penganjur, hanya penonton yang telah lengkap vaksinasi dua dos dibenarkan masuk ke venue kejohanan manakala kanak-kanak berumur di bawah 12 tahun adalah dilarang masuk.

BATC Selangor 2022 merupakan kejohanan penting buat pasukan Asia dengan empat pasukan yang lolos ke separuh akhir layak secara automatik ke Pusingan Akhir Piala Thomas dan Uber yang dijadualkan di Bangkok dari 8 hingga 15 Mei.

Saingan berpasukan lelaki menampilkan juara bertahan Indonesia, India, Korea dan Hong Kong dalam Kumpulan A manakala Jepun, Singapura, Kazakhstan dan tuan rumah Malaysia dalam Kumpulan B.

Dalam saingan wanita, juara dua kali Jepun, India dan tuan rumah Malaysia diletakkan dalam Kumpulan Y manakala Korea, Indonesia, Hong Kong dan Kazakhstan berada dalam Kumpulan Z.

BATC Selangor 2022 dihos oleh Kerajaan Negeri Selangor dengan Majlis Sukan Negeri Selangor selaku penganjur dengan kerjasama Badminton Asia (BA) dan Persatuan Badminton Malaysia (BAM).

- Advertisement -