Malaysian Football League (MFL) mengumumkan bahawa pertandingan TM Piala Malaysia 2020 kekal berlangsung seperti perancangan sebelum ini.

Perkara itu disahkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Dato’ Ab Ghani Hassan yang turut memberitahu keputusan itu telah dicapai menerusi mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah ke-23 yang bermula pukul 10 pagi sehingga 7 malam semalam.

Jelas Dato’ Ab Ghani, kejohanan TM Piala Malaysia 2020 yang akan bermula 6, 7 dan 8 November ini akan berjalan seperti yang dijadualkan di mana undian TM Piala Malaysia 2020 akan berlangsung pada 1 November ini.

Mengulas mengenai pasukan yang berdepan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), Dato’ Ab Ghani memaklumkan pengendali Liga Malaysia itu akan membantu kelab-kelab berkenaan berkaitan proses untuk bermain di venue zon hijau pandemik COVID-19.

“Mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah MFL telah memutuskan bahawa kejohanan TM Piala Malaysia 2020 berjalan seperti yang dijadualkan iaitu undian akan bermula pada 1 November ini sebelum kejohanan membuka tirai pada 6, 7 dan 8 November depan.

“Sudah pasti kepatuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) sentiasa menjadi agenda utama buat MFL ketika dalam pandemik COVID-19 dan ia akan menjadi tanggungjawab bersama dalam menjayakan kejohanan TM Piala Malaysia 2020,” katanya dalam satu kenyataan rasmi, hari ini.

Format TM Piala Malaysia musim ini terpaksa diubah kepada saingan kalah mati sejak pusingan pertama membabitkan 16 pasukan (11 CIMB Liga Super, 5 Liga Premier ) sehingga ke pusingan suku akhir (12 dan 13 November), separuh akhir (17 November) tanpa aksi timbal balik sebelum aksi final pada 22 November.

Dalam perkembangan lain, Dato’ Ab Ghani turut mengumumkan pasukan UiTM FC telah diberikan kemenangan 3-0 selepas permohonan laluan khas skuad Sabah tidak dibenarkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Sabah sebelum ini dijadualkan bertemu UiTM FC di Stadium Hang Jebat Melaka untuk aksi terakhir CIMB Liga Super pada 31 Oktober ini.

Melihat situasi ini, Dato’ Ab Ghani mengesahkan Sabah tidak akan terlibat dalam saingan TM Piala Malaysia selepas tidak mendapat pelepasan keluar dari Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang dilanjutkan sehingga 9 November

“Permohonan pengecualian bagi pasukan Sabah tidak diluluskan sehingga menyebabkan perlawanan CIMB Liga Super yang tertunda tidak dapat dimainkan, jadi pasukan UiTM FC diberikan kemenangan 3-0.

“Tempoh kuarantin kendiri wajib selama 14 hari (sekiranya pasukan Sabah tiba di KLIA pada 29 Oktober 2020) telah melangkaui tarikh perlawanan pusingan pertama (kalah mati) TM Piala Malaysia.

“Justeru, pasukan yang bakal diundi bertemu pasukan Sabah di Pusingan Pertama (kalah mati) TM Piala Malaysia 2020 diberikan kemenangan 3-0 dan seterusnya layak ke pusingan Suku Akhir.

“Pasukan Sabah adalah kekal sebagai pasukan Liga Super untuk musim 2021 dan tiada hukuman yang bakal dikenakan terhadap pasukan Sabah kerana isu ini,” katanya.

Sementara itu, Dato’ Ab Ghani turut mengesahkan Ahli Lembaga Pengarah MFL telah memutuskan format kenaikan dan penyingkiran CIMB Liga Super kekal seperti biasa.

Kata Dato’ Ab Ghani, tiada penyingkiran buat pasukan berstatus Liga Premier pada musim ini selepas menyaksikan Amateur Football League (AFL) telah mengambil keputusan untuk membatalkan saingan Liga M3 musim 2020 pada 8 Jun 2020.

“Tiada penurunan dari pasukan Liga Premier pada musim ini tetapi format biasa iaitu dua pasukan menduduki menduduki tangga ke-11 dan 12 dari CIMB Liga Super (turun ke Liga Premier) dan dua pasukan teratas Liga Premier (naik ke CIMB Liga Super) kekal seperti biasa,” katanya.

- Advertisement -