PASUKAN teratas Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Terengganu Hockey Team (THT) terus menyemarakkan saingan menjelang perlawanan penentu kejuaraan minggu depan apabila mudah mengetepikan lawan masing-masing pada perlawanan TNB Liga Hoki Malaysia (Premier) 2022 semalam.

Di Stadium Hoki Batu Burok Kuala Terengganu, THT sekali lagi berpesta gol menewaskan National Development Team 6-2 untuk memastikan tidak tercicir mata penuh sekaligus terus menekan pendahulu TNB.

THT masih mempunyai baki satu perlawanan dalam tangan, iaitu menentang TNB Thunderbolts Jumaat ini sebelum melengkapkan saingan Liga dengan pertembungan menentang TNB.

Seawal minit ke-3, Akhimullah Anuar Esook sudah menggegar gawang NDT sebelum menambah satu lagi jaringan pada minit ke-52. Muhammad Firdaus Omar kemudian melebar jurang pada minit ke-8 manakala Muhammad Sufi Ismat Rohulamin (ke-23) meletakkan THT 3-0 pada separuh masa pertama.

Muhammad Noor Firdaus Rosdi (ke-47) dan Fitri Saari melengkapi jaringan besar THT dengan jaringan padang pada minit ke-47.

TNB yang kini menumpukan fokus untuk perlawanan penentuan menentang THT 22 Mac ini, mudah menumpaskan Nurinsafi Sporting 5-0 untuk terus kekal di tangga teratas dengan 30 mata, empat mata di depan pencabar terdekat THT.

Dalam satu lagi perlawanan, Maybank memastikan kedudukan ketiga dalam liga selepas kemenangan besar 6-2 ke atas UiTM HA.

Jurulatih Azrul Effendy Bistamam lega dengan prestasi anak-anak buahnya sekalipun jelas terkilan kerana terpaksa akur dengan kedudukan ketiga dan gagal merealisasikan misi membawa pulang Piala Liga musim ini.

“Dengan kedudukan ke-3 sudah pasti, sasaran dan fokus kami kini ialah memburu Piala TNB dan persiapan rapi akan dibuat untuk saingan separuh akhir samada menentang TNB atau THT.

Baki dua perlawanan liga menentang NDT dan Nurinsafi Sporting minggu ini akan kami gunakan sepenuhnya untuk memantapkan lagi prestasi pemain untuk bekalan di separuh akhir nanti,” kata Azrul.

Dua gol Hafifihafiz Hanafi pada minit ke 47 dan 54 membantu kemenangan besar Maybank manakala Razie Rahim juga menemui sasaran pada minit ke 25 selain Mohamad Ashran HAmzani (ke-7), HAfizi Zainudin (ke-31) dan Muhajir Abdu Rauf (ke-47).

Saingan separuh akhir Piala TNB secara timbal balik akan bermula 25 Mac ini manakala final dijadualkan pada 31 Mac.

- Advertisement -