Kejayaan menewaskan Kedah 3-0 di pentas perlawanan akhir Piala Malaysia 2019 mempunyai signifikan tersendiri buat pemain pertahanan Johor Darul Ta’zim (JDT), Aidil Zafuan Abdul Razak.

Ini menjadi trofi ketujuh pada pentas perlawanan akhir dalam saingan domestik kepada Aidil bersama JDT yang secara kebetulan menyamai nombor jersinya selepas empat kali pada Piala Sumbangsih, satu di saingan Piala FA dan dua di Piala Malaysia.

Malah, dia sendiri tidak menyangka, sejarah itu mampu dilakukan ketika berdepan adik kembarnya sendiri, Zaquan Adha yang bersama Kedah.

“Istimewa bagi saya untuk Piala Malaysia tahun ini, ini merupakan kali ketujuh piala di final bersama JDT iaitu sama dengan nombor jersi saya iaitu nombor tujuh.

“ Secara peribadi, saya sendiri tidak meyangka ini kali pertama akan bertentangan adik sendiri di perlawanan akhir kerana sebelum ini kami bersama-sama dalam pasukan sama di Negeri Sembilan.

“Kedah telah cuba lakukan yang terbaik tetapi mungkin ini sudah rezeki saya bersama JDT untuk muncul juara, ” katanya selepas aksi perlawanan akhir di Stadium Nasional Bukit Jalil, pada Sabtu.

Kejayaan menjulang Piala Malaysia bersama JDT pada musim ini adalah kali keempat buat Aidil sepanjang karier selepas dua kali bersama Negeri Sembilan pada 2009 dan 2011 selain dua kali bersama JDT.

Kemenangan menewaskan finalis yang sama, Kedah yang ditemui pada 2017 dianggap paling manis kali ini kerana menamatkan kekecewaan dua kali tewas pada pentas perlawanan akhir di Stadium Nasional Bukit Jalil, sebelum ini.

Pada perlawanan semalam, JDT membuka tirai jaringan menerusi Leandro Velazquez pada minit 27 sebelum Safawi Rasid menambah gol kedua pada minit-35 dan Syafiq Ahmad memastikan kemenangan mutlak menerusi jaringan pada minit-58.

Dalam pada itu, Aidil menyifatkan kunci kemenangan JDT pada pentas akhir Piala Malaysia 2019 adalah mereka berjaya menguasai perlawanan dari awal yang menyukarkan pasukan Kedah untuk bangkit.

“ Memang aksi final kami tidak boleh jangka apa boleh terjadi kerana jelas satu perlawanan yang berbeza dengan perlawanan-perlawanan sebelumnya.

“ Cuma faktor utama kami boleh menang pada hari ini ialah kami mampu memegang permainan sejak minit pertama lagi dan situasi itu berikan keyakinan kepada kami sepanjang perlawanan.

“ Seterusnya apabila kami dapat menjaringkan gol, ia terus menguatkan lagi kepercayaan kami sepanjang 90 minit untuk menang pada perlawanan tadi, ” katanya.

- Advertisement -