Penyerang naturalisasi negara, Mohamadou Sumareh menyerahkan sepenuhnya kepada Ketua Jurulatih Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe berhubung penyenaraian dalam kesebelasan utama menentang Vietnam malam ini.

Sumareh sebelum ini dilaporkan mengalami kecederaan hamstring ketika sesi latihan sebelum menentang Laos di Bukit Jalil.

Penyerang kelahiran Gambia ini menyatakan telah cergas selepas sesi latihan rasmi di Stadium Kebangsaan My Dinh petang semalam.

Namun, ia bukan jaminan Sumareh akan mengisi kesebelasan utama menentang Golden Dragons malam ini.

“Setakat ini saya rasa sudah semakin baik selepas menjalani rawatan dan latihan selama beberapa hari dan ia sudah cukup untuk saya kembali semula,”kata Sumareh selepas sesi latihan semalam.

 

 

Tambahnya lagi, beliau meletakkan keercayaan sepenuhnya kepada barisan kejurulatihan yang dipimpin Tan Cheng Hoe untuk menentukan posisinya samada di dalam kesebelasan utama atau bangku simpanan.

Bagi penyerang pasukan Pahang itu, apa yang penting kini adalah mencari kemenangan di Hanoi serta bermain sebagai satu pasukan.

“Pasukan adalah keutamaan ketika ini dan itu yang jurulatih beritahu. Jika saya menjaringkan gol, itu adalah pencapaian tambahan untuk saya. Jika saya tidak menjaringkan gol tetapi pasukan menang, itu juga menggembirakan saya.

“Ketika dipadang, kita tidak tahu apa yang akan terjadi. Kami akan berikan segalanya dan bermain mengikut perancangan yang ditetapkan. Sebaik sepak mula, kita lihat siapa yang akan menang. Sukar untuk meramal siapa yang terbaik. Mereka (Vietnam) mungkin pasukan pilihan, tetapi kita lihat esok (malam ini),”katanya lagi

Penampilan sulung Sumareh bersama Harimau Malaya ketika Malaysia melakar kemenangan 4-1 ke atas Sri Lanka dalam aksi persahabatan antarabangsa dan pemain berusia 27 tahun itu menyumbat dua gol ketika itu.

Sumareh turut melakar nama sepaku penjaring ketika aksi persahabatan antarabangsa menentang Maldives di Bukit Jalil. – OLEH KU MOHD LUFTI 

- Advertisement -