20151204-Klang United BC(red)-Yap Rui Chen-007

20151204-Kepong BC(orange)-Andrei Adistia & Tai An Khang-001

Pemenang pingat emas Sukan Sea, Chong Wei Feng tampil dengan aksi bertenaga untuk menghadiahkan Kepong BC kemenangan bergaya 11-9 ke atas Klang United dalam saingan Purple League yang berlangsung di Sports Arena@Sentosa.

Kepong menuju ke perlawanan perseorangan lelaki terakhir di antara Wei Feng dan pemain muda Chin Wai Kin dengan ketinggalan 8-9 namun ternyata pemain kebangsaan berusia 28 tahun itu yang meraih emas Sukan Sea di Singapura Jun lalu itu bukan saingan buat Wai Kin.

Wei Feng mencatat kemenangan mudah 3-0 (11-7, 11-9, 11-6) dalam masa 24 minit dan memberikan Kepong kemenangan ketiga dari lima perlawanan manakala bagi Klang United, ini adalah kekalahan keempat buat mereka, dan yang ketiga berturut-turut.

Begitupun, jurulatih Klang United, Yap Kim Hock tetap berpuas hati dengan prestasi keseluruhan pemainnya dan menyifatkan ia satu pendedahan berguna buat mereka menjelang aksi yang mendatang.

“Dalam dua perlawanan lepas, kita tewas kesemua lima perlawanan. Hari ini kita beri saingan, menang dua perlawanan menerusi perseorangan lelaki dan beregu lelaki. Malah, kita berjaya curi satu mata dalam beregu campuran mereka yang cukup kuat. Menentang Wei Feng semua tahu bukan mudah buat pemain muda saya, jadi secara keseluruhan saya rasa ia satu aksi yang jauh lebih baik dari pemain saya,” kata Kim Hock.

Pada perlawanan itu, Klang United terlebih dahulu bermula garang apabila mendahului 3-0 menerusi Leong Jun Hao yang menewaskan Ai Wei Jian 3-0 (11-7, 11-6, 11-3).

Kepong bagaimanapun bangkit memberi saingan apabila perseorangan wanita, Deng Xuan mengetepikan tentangan sengit Yap Rui Chen untuk mencatat kemenangan 3-2 sebelum pasangan beregu campuran, Mei Qi Li/Ong Jian Guo mengikat kedudukan 6-6.

Jian Guo yang lazimnya beraksi dalam acara beregu lelaki pertama kali digandingkan dengan Qi Li dan pasangan ini tidak menunjukkan masalah untuk mencatat kemenangan 3-1 (11-5, 8-11, 11-2, 11-7) ke atas Hakim Norrazi/Yap Yee.

Perlawanan diheret ke penamat mendebarkan apabila Klang United kembali mendahului perlawanan 9-8 menerusi kemenangan beregu lelaki, Alwi Mahardika/Sabar Karyaman Gutama yang berdepan kebangkitan hebat dari Andrei Adistia/Tan Ai Khang sebelum mencatat kemenangan 3-2.

Hasrat Klang United untuk membawa pulang kemenangan bagaimanapun agak jauh dari menjadi kenyataan apabila Wei Feng tidak langsung memberi ruang dan memanfaatkan setiap pengalamannya untuk menewaskan pemain muda yang menduduki ranking 423 dunia itu.  

Dalam pada itu, belum ada pasukan yang dilihat berupaya menoktahkan penguasaan Muar City BC yang terus merajai persada Purple League.

Pasukan juara bertahan itu merakamkan kemenangan kelima berturut-turut, sekali lagi mencatat kemenangan hampir sempurna dengan menewaskan Bangsar Hawks pada perlawanan yang berlangsung lewat petang Khamis.

Hanya pemain perseorangan lelaki, Tan Chun Seang yang mencicirkan satu set pada perlawanan pertama dalam  kemenangan 3-1 ke atas Muhammad Alif Nurizwan manakala kesemua pemain lain – Kim Mun Hee, Chan Peng Soon/Goh Liu Ying, Han Sang Hoon/Tan Wee Kion dan bintang Korea Selatan, Lee Hyun Il merakamkan kemenangan sempurna 3-0 untuk Muar City terus mengungguli kedudukan teratas. 

- Advertisement -