Pusingan kedua kejohanan badminton Terbuka Switzerland menyaksikan 9 wakil negara mengesahkan slot ke peringkat suku akhir selepas mengatasi lawan masing masing di pusingan kedua hari ini.
Wakil tunggal perseorangan lelaki, Lee Zii Jia terus mempamer permainan yang mantap dimana pilihan kedua ini mengatasi wakil Denmark Victor Svendsen dengan kemenangan straight set 21-15, 21-11.
Zii Jia dijadual menentang pemain dari India, B Sai Praneeth yang diletak selaku pilihan kelima kejohanan.
Aksi bergu lelaki menyaksikan tiga wakil negara mara ke peringkat suku akhir.
Paling awal mara adalah pasangan Aaron Chia-Soh Wooi Yik yang diberi walked over ke atas pasangan Denmark, Jeppe Bay-Lasse Mølhede.
Nasib berbeza dialami dua bergu profesional negara, Ong Yew Sin-Teo Ee Yii dan Goh V Shem-Tan Wee Kiong.
Yew Sin-Ee Yii yang turun selaku pilihan ke 5 menang ke atas wakil dari Denmark, Joel Eipe-Rasmus Kjær dengan kemenangan straight set 21-18, 21-13 namun nasib kurang baik buat V Shem-Wee Kiong yang juga pilihan ketiga apabila dikejutkan dengan kekalahan ke atas pasangan dari Jerman, Mark Lamsfuss-Marvin Seidel 19-21, 19-21.
Hari ketiga Terbuka Switzerland sekali lagi menghadirkan satu lagi kejutan oleh Low Hang Yee-Ng Eng Cheong apabila menundukkan pilihan keempat dari England Marcus Ellis – Chris Langridge.
Meskipun tewas di set pertama, Hany Yee-Eng Cheong bangkit dengan aksi yang lebih aggresif untuk menang selepas bertarung tiga set, 10-21, 21-15, 21-15 sekaligus akan berdepan pilihan keenam dari Denmark, Kim Astrup – Anders Skaarup Rasmussen untuk memburu tiket ke separuh akhir.
“Kami tidak biasa dengan cara permainan lawan tetapi di set kedua kami lebih fokus pada taktikal dan yakin dengan permainan.
“Di set ketiga, walaupun kami ketinggalan di awal permainan, kami tidak putus asa dan cuba meraih mata demi mata. Kami akan memberi tumpuan dari satu perlawanan ke satu perlawanan dan harap dapat keputusan yang baik,”kata Low Hang Yee
Bergu wanita pula menyaksikan Chow Mei Kuan-Lee Meng Yean serta Pearly Tan-M Thinaah gah meneruskan cabaran ke peringkat suku akhir.
Mei Kuan-Meng Yean yang turun selaku pilihan kedua melakar kemenangan straight set 21-18, 21-17 ke atas gandingan dari Jerman, Linda Efler-Isabel Herttrich sekaligus akan bertemu pilihan ketujuh dari Kanada, Rachel Honderich-Kristen Tsai di peringkat suku akhir nanti.
Manakala pasangan bergu wanita yang sedang meningkat naik, Pearly Tan-M Thinaah turut melepasi pusingan kedua selepas mengatasi cabaran wakil Rusia, Anastasiia Akchurina-Olga Morozova 21-16, 21-18 dan akan berdepan Amalie Magelund-Freja Ravn dari Denmark di suku akhir.
“Setakat ini cara permainan dan kombinasi saya dan M Thinaah semakin baik tetapi masih perlu pertingkatkan lagi stamina dan konsistensi ketika di dalam gelanggang.
“Saya akan beri yang terbaik dan keyakinan kepada M Thinaah. Kami tidak pasti samada dapat memenangi perlawanan ini atau tidak tetapi kami akan tetap berusaha untuk mara ke semi final dan sentiasa mengingatkan diri sendiri untuk lebih banyak bersabar untuk mendapatkan mata,”kata Pearly Tan.
“Untuk perlawanan hari ini, saya dan Pearly Tan bermain dengan baik tetapi diawal permainan kami banyak melakukan kesilapan mudah tetapi keadaan semakin terkawal selepas berbincang.
“Kami mampu untuk lakukan yang lebih baik daripada apa yang telah kami lakukan. kami tidak letakkan tekanan ke atas diri sendiri dan hanya fokus satu perlawanan demi satu perlawanan dan akan berikan yang terbaik pada perlawanan seterusnya,”kata M Thinaah.
Bergu campuran turut menyaksikan tiga wakil negara tidak berdepan masalah untuk meneruskan saingan ke peringkat suku akhir.
Turun selaku pilihan pertama, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying tidak berdepan masalah untuk menundukkan gandingan Perancis, Ronan Labar-Anne Tran straight set 21-12, 21-16 sekaligus bakal berdepan pasangan dari Denmark, Mathias Christiansen-Alexandra Bøje.
Mengikuti jejak Peng Soon-Liu Ying adalah Tan Kian Meng-Lai Pei Jing yang menundukkan pasangan dari Jerman, Jones Ralfy Jansen-Kilasu Ostermeyer juga dengan kemenangan straight set 21-14, 21-17.
Kian Meng-Pei Jing yang juga pilihan kelima akan menentang pasangan dari India Satwiksairaj Rankireddy-Ashwini Ponnappa diperingkat suku akhir.
Begitu juga dengan Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie yang turut melakar kemenangan straight set ke atas Rasmus Espersen- Christine Busch dari Denmark 21-10, 21-15 dan pilihan keempat ini dijadual menentang pilihan keenam dari Perancis Thom Gicquel-Delphine Delrue untuk memburu slot empat terbaik.