Malaysia menutup tirai Sukan SEA Thailand 2025 pada kedudukan keempat keseluruhan yang diraih menerusi 57 pingat emas, satu pencapaian yang menyuntik keyakinan serta kesinambungan ketika negara mempersiapkan bagi penganjuran edisi ke-34 temasya pada 2027.

Mengakiri kempen menerusi kemenangan emas sepaktakraw – sukan yang sinonim dengan keunggulan serantau Malaysia — apabila pasukan regu lelaki menyumbangkan pingat emas ke-57 dan terakhir kontinjen negara selepas menewaskan Vietnam di pentas final.

Kemenangan itu menyaksikan Malaysia menamatkan temasya dengan keseluruhan 57 emas, 57 perak dan 117 gangsa, menjadikan jumlah keseluruhan 231 pingat — lega melepasi sasaran awal 200 pingat dan sekali gus mencatat kutipan terbaik Malaysia dalam sejarah Sukan SEA yang berlangsung di luar Kuala Lumpur.

Gandingan Syahir Rosdi, Azlan Alias dan Farhan Adam menguasai perlawanan sejak awal dengan kemenangan 15–9 pada set pertama. Meskipun Syahir digantikan oleh Haziq Hairul Nizam pada set kedua, rentak permainan Malaysia kekal mantap untuk sekali lagi menang 15–9, sekali gus menghadiahkan pingat emas regu pertama negara sejak edisi Kuala Lumpur 2017.

Emas sepak takraw itu menjadi penutup bermakna kepada kempen 2025 yang menyaksikan Malaysia meningkatkan momentum secara berperingkat, sebelum memuncak pada fasa akhir temasya menerusi prestasi cemerlang dalam sukan tradisional dan Olimpik.

Thailand menegaskan penguasaan serantau apabila muncul juara keseluruhan dengan 233 emas, 154 perak dan 112 gangsa. Indonesia menamatkan temasya di tempat kedua (91-111-131), diikuti Vietnam di tangga ketiga (87-81-110).

Malaysia berada di kedudukan keempat dengan rekod 57-57-117, mengatasi Singapura di tempat kelima (52-61-89), manakala Filipina berada seterusnya dengan 50-73-154. Kedudukan selebihnya dihuni Myanmar (3-21-49), Laos (2-9-28), Brunei Darussalam (1-3-5) dan Timor-Leste (0-1-7).

Sukan SEA Thailand 2025 melabuhkan tirainya secara rasmi malam ini dengan upacara penutup di Stadium Nasional Rajamangala, di mana bendera Persekutuan Sukan SEA akan diserahkan secara rasmi kepada Malaysia menandakan bermulanya detik kiraan detik menuju Sukan SEA Malaysia 2027.

- Advertisement -