iskandar.hendrawan.chong wei

Oleh Muhammad Aiman

Jaguh badminton tanah air, Dato’ Lee Chong Wei berpendapat soal lanjutan kontrak Hendrawan tidak sepatutnya bergantung kepada pandangan atau maklumbalas daripadanya sebaliknya Persatuan Badminton Malaysia boleh menilai sendiri sumbangan jurulatih dari Indonesia itu terhadap arena badminton negara.

Bagaimanapun, pemenang pingat perak Sukan Olimpik Rio De Janeiro itu tidak berselindung di dalam mengatakan khidmat Hendrawan bukan sahaja diperlukan olehnya tetapi juga untuk membantu meningkatkan prestasi pemain-pemain lain di dalam pasukan negara.

 “Semua orang boleh nampak apa yang boleh dia bantu. Saya rasa tidak perlu saya yang cakap mahu kekal dengan Hendrawan, BAM sendiri boleh nampak apa dia boleh buat. Dia sudah 6 tahun di Malaysia, telah membantu menghasilkan banyak keputusan bagus.

“Ketika kes doping, saya jatuh ke tangga 182 dunia, dan dia berjaya bantu saya untuk bangkit, naik semula dalam tempoh 14 bulan. Kita tidak boleh kata perlukan dia sementara untuk saya hadapi Kejohanan Dunia sahaja, ramai lagi pemain dia boleh bantu seperti Iskandar (Zulkarnain) dan bangkitkan semangat emas Tokyo 2020.”  

Untuk rekod, kontrak Hendrawan bersama BAM bakal berakhir pada hujung tahun ini namun keraguan mengenai masa depannya timbul setelah bekas juara dunia itu dikatakan gagal mencapai Indeks Petunjuk Prestasi (KPI) yang ditetapkan iaitu membawa Chong Wei muncul juara Kejohanan Dunia 2015 dan Sukan Olimpik 2016 di mana kedua-duanya menyaksikan Chong Wei muncul naib juara.

Hendrawan sendiri dilaporkan pernah memberi bayangan mahu berundur dari pasukan negara selepas berakhir olimpik namun Setiausaha Kehormat BAM, Ng Chin Chai berkata kontrak Hendrawan masih berjalan seperti biasa dan sebarang keputusan mengenai masa depannya hanya akan dibuat selepas perbincangan bersama Chong Wei. 

Dalam perkembangan lain, Chong Wei yang sebelum ini dilaporkan akan memperkuatkan cabaran negara di Sukan Sea Kuala Lumpur 2017 mengesahkan dia tidak akan mengambil bahagian di temasya dwitahunan itu berikutan pertembungan dengan Kejohanan Badminton Dunia di Glasgow.

“Memang kalau tarikh boleh tukar saya akan main di kedua-dua kejohanan tetapi keputusan sudah dibuat penganjur, saya akan fokus pada Kejohanan Dunia. Untuk Sukan Sea, kita boleh hantar pemain muda, ini peluang terbaik untuk mereka diberi pendedahan dan cari pengalaman,” kata Chong Wei.

Chong Wei ditemui pemberita selepas hadir pada majlis sambutan dan penyerahan ganjaran wang tunai berjumlah keseluruhan RM315,000 dari syarikat telekomunikasi XOX Mobile kepada lapan pemenang pingat di Sukan Olimpik Rio De Janeiro 2016.

- Advertisement -