famOleh Muhammad Aiman

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) akan memberi penjelasan mengenai isu ‘pengadil tidak bertauliah’ yang mengendalikan perlawanan suku akhir Piala Malaysia antara T-Team dan Felda United selepas mesyuarat Jawatankuasa Pengadil FAM dipengerusikan oleh Dato’ S.Sivasundram pada Khamis (1 September).

Isu ‘pengadil tidak bertauliah’ ini timbul setelah pengadil, Khirul Azuan Kidam yang dipertanggungjawabkan mengadili perlawanan tersebut pada 28 Ogos lalu dikatakan telah membuat lapan kesalahan yang secara terang-terangan menimbulkan pertikaian dan mengubah keputusan perlawanan.

Ini sekaligus memaksa pengurusan T-Team menghantar laporan bantahan rasmi secara bertulis disertakan dengan salinan video untuk tindakan lanjut oleh FAM dan Football Malaysia Limited Liability Partnership (FMLLP).

Ketua Pegawai Operasi T-Team, Syahrizan Md Zain menegaskan FAM mahupun FMLLP perlu meneliti secara terperinci, tidak ‘lepas tangan’ dan bersikap tegas dalam menangani isu membabitkan keputusan tidak profesional pengadil yang pada hakikatnya sudah lama berlanjutan.

Antara isi kandungan laporan tersebut adalah mengenai pembatalan jaringan Dilshod Sharafetdinov pada minit ke-70, jaringan Felda Utd menerusi Francis Forkey Doe yang disahkan walaupun pemain itu dengan jelas menampan bola menggunakan tangan serta penjaga gol The Fighters Farizal Harun tidak dikenakan sebarang tindakan walaupun menahan bola di luar kotak penalti pada penghujung separuh masa pertama.

Selain itu, menurut Syahrizan beberapa kesalahan lain yang tidak sepatutnya dilakukan seorang pengadil profesional turut dinyatakan di dalam laporan bantahan itu.

Menariknya, Khirul Azuan bukanlah pengadil yang sepatutnya bertugas pada perlawanan di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah itu sebaliknya Fitri Maskon, namun dilaporkan FAM terpaksa membuat perubahan saat akhir memandangkan Kelantan yang meragui kredibiliti Khirul Azuan awal-awal lagi menolak pengadil itu dari mengendalikan perlawanan di Kota Bharu membabitkan Kelantan bertemu Kedah.

“Justeru, kami berharap FAM mengambil tindakan tegas terhadap pengadil itu selain meminta dia (Khirul Azuan)memohon maaf secara terbuka kepada T-Team kerana kesalahan dilakukan bukan sekali dan ia seolah-olah membunuh semangat pemain muda kami,” ujar Syahrizan. 

Pada perlawanan itu, T-Team mendahului menerusi Safawi Rasid sebelum Forkey Doe menyamakan kedudukan dan memastikan anak buah Irfan Bakti membawa kelebihan gol tempat lawan pada aksi timbal balik nanti.

- Advertisement -