wee-wern

Oleh Muhammad Aiman

Dua wakil negara, Ivan Yuen dan Low Wee Wern melangkah ke final Kejohanan Skuash Universiti Dunia setelah mengetepikan lawan masing-masing dalam aksi separuh akhir di Pusat Skuash Nasional, Bukit Jalil pada Rabu.

Ivan, pemain nombor dua kebangsaan menampilkan aksi impresif bertenaga untuk menewaskan pilihan kedua Joshua Masters dari Britain dalam aksi empat set, 11-7, 12-10, 12-14 dan 11-5.

Lebih manis, kejayaan itu turut menebus kekalahan Ivan, pemain nombor 53 dunia kepada Joshua dalam aksi suku akhir di Kejohanan Terbuka Antarabangsa Christchurch, New Zealand pada Julai lalu.

“Saya tewas kepadanya dua bulan lalu dan saya tekad untuk tidak mahu tewas sekali lagi kepadanya, itu yang membakar semangat saya. Saya cukup berpuas hati dapat membalas dendam ke atasnya,” ujar Ivan yang akan berdepan pilihan utama Yip Tsz Fung dari Hong Kong di perlawanan akhir.

Tsz Fung tidak bermasalah untuk menewaskan rakan senegara, Wong Chi Him 11-2, 8-11, 11-5 dan 11-7 dalam satu lagi aksi separuh akhir.

Bagi kategori wanita, Low Wee Wern mara selepas lawannya yang juga rakan senegara Nazihah Hanis menarik diri di pertengahan set kedua kerana mengalami kecederaan harmstring.

Wee Wern, bekas pemain nombor lima dunia sebelum itu sedang mendahului 11-5, 7-5.

“Nazihah memberi tentangan lebih baik di set kedua, saya turut bersimpati kerana dia mengalami kecederaan. Ia bukan sesuatu yang bagus untuk menang dengan cara begini, saya belum mendapat rentak dan menyesuaikan diri di atas gelanggang,” katanya.

Dalam aksi final, pemain di ranking 27 dunia itu akan berdepan wakil Hong Kong, Tong Tsz Wing yang mara selepas menewaskan Nada Elkalaawy dari Britain 11-4, 11-4, 11-3.

- Advertisement -