peng.soon-liu.ying.3

Oleh Muhammad Aiman

Sejak mengambil alih tanggungjawab sebagai jurulatih beregu campuran pada tahun lalu, Chin Eei Hui tidak dinafikan telah berjaya mengembalikan semula potensi pasangan Chan Peng Soon-Goh Liu Ying serta Tan Kian Meng-Lai Pei Jing.

Peng Soon-Liu Ying tampil mencuri tumpuan dunia dalam apa yang boleh disifatkan sebagai aksi terbaik karier mereka setakat ini dengan meraih pingat perak di Rio De Janeiro bulan lalu, seterusnya melonjak tiga tangga ke ranking nombor lapan dunia.

Ia adalah kedudukan terbaik bekas pasangan nombor tiga dunia itu sejak Liu Ying pulih dari pembedahan di lutut kedua-dua lututnya tahun lalu.

Manakala Kian Meng dan Pei Jing, kini berada di kedudukan ke-25 dunia, mengukuhkan tempat mereka selaku pasangan beregu campuran nombor dua negara dan Eei Hui percaya lebih banyak lagi akan dapat disaksikan dari kelibat dua pasangan itu selepas ini.

Eei Hui yang merupakan bekas pemain beregu wanita negara dan pernah satu ketika berada di kedudukan nombor satu dunia bersama gandingannya Wong Pei Tty turut menyuarakan rasa gembira di atas kepercayaan yang diberikan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) terhadap kudrat jurulatih tempatan.

Dia yang bersara sebagai pemain pada 2012 berkata, “Saya cukup seronok dengan peranan ini, sudah empat tahun saya menjadi jurulatih di BAM. Saya diberikan tanggungjawab untuk membimbing pasukan beregu campuran sejak 15 bulan lalu.

“Sebagai seorang bekas pemain, saya hanya boleh mengingatkan pemain supaya tidak mengulangi kesilapan yang pernah saya lakukan.

“Dalam tempoh saya membimbing mereka, saya gembira kerana berjaya melaksanakan tanggungjawab dengan cukup baik dan untuk melihat Peng Soon-Liu Ying kembali bangkit ke prestasi terbaik mereka, berada di podium di Rio memberikan saya satu kepuasan,” ujar Eei Hui.

Kian Meng dan Pei Jing pula baru-baru ini menjuarai Terbuka Kedah dan kini sedang beraksi di Kejohanan Indonesia Masters yang akan berakhir pada 11 September nanti.

Eei Hui kini sedang mempersiapkan Peng Soon-Liu Ying untuk menghadapi Terbuka Jepun yang akan berlangsung dari 20-25 September depan.

- Advertisement -