SABAH 6-1 KL B
Sabah kalahkan Kuala Lumpur B 6-1

Oleh Muhammad Aiman

Pulau Pinang memastikan mereka kekal di landasan terbaik mempertahankan kejuaraan yang dimenangi musim lalu apabila beraksi garang untuk membelasah Negeri Sembilan 8-1 pada Jumaat seterusnya melangkah ke separuh akhir Kejohanan Floorball Piala Merdeka 2016.

Setelah dikejutkan dengan kekalahan 4-6 kepada tuan rumah, Kuala Lumpur ‘A’ pada Khamis, Pulau Pinang sedar mereka tiada pilihan selain mencatat kemenangan ke atas Negeri Sembilan yang tewas dua perlawanan terdahulu jika mahu kekal dalam saingan dan mereka melakukannya dengan cukup bergaya.

Kemenangan membolehkan skuad bimbingan Khor Kuan Yang itu muncul juara Kumpulan A, mengatasi KL ‘A’ menerusi beza jaringan.

KL ‘A’ yang sudahpun mengesahkan kemaraan ke separuh akhir lebih awal tewas 2-3 kepada Johor dalam satu lagi perlawanan. 

Dalam aksi Kumpulan B, slot separuh akhir menjadi milik Sabah dan Selangor setelah masing-masing mencatat kemenangan dalam perlawanan terakhir kumpulan.

Sabah mengekalkan rekod tanpa kalah dengan menewaskan satu lagi wakil tuan rumah KL ‘B’ 6-1 sekaligus muncul juara kumpulan manakala Selangor mara setelah mencatat kemenangan pertama dengan mengetepikan tentangan sengit Perak 1-0.

Di peringkat separuh akhir yang akan berlangsung Sabtu, Pulau Pinang akan menentang Selangor manakala Sabah akan berdepan dengan KL ‘A’.

Sementara itu, aksi kategori wanita pula menyaksikan  KL ‘A’, Sabah dan Johor melengkapkan slot separuh akhir mengiringi juara bertahan Pulau Pinang.

KL ‘A’ dikerah bekerja keras sebelum menundukkan Selangor  5-4 untuk mara selaku naib juara Kumpulan A manakala Sabah tidak bermasalah menewaskan KL ‘B’ 10-1 untuk mara selaku naib juara Kumpulan B.

Pulau Pinang akan berdepan Sabah dan KL ‘A’ akan berdepan Johor di peringkat separuh akhir.  

- Advertisement -