Oleh Ku Mohd Lufti

Presiden Persatuan Bolasepak Selangor,(FAS) Datuk Seri Mohamed Azmin Ali memberi bayangan pengurusan organisasi tersebut akan dirombak bagi memastikan organisasi yang berkaliber dan mampu mengembalikan kecemerlangan kepada pasukan itu.

Menerusi kenuataan media, tindakan itu dibuat susulan nasihat daripada Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah atas nasihat baginda dan memberi jaminan beliau akan mengambil tindakan yang perlu untuk memastikan kecemerlangan bola sepak di Selangor dipelihara dan seterusnya membawa kejayaan ke tahap lebih besar.

“Saya mengambil perhatian terhadap cadangan bahawa saya, sebagai Presiden FAS, perlu memperkenalkan “barisan baharu yang bebas daripada politik, berdasarkan merit, penuh bertenaga dan mampu mencapai kejayaan.

“Sesungguhnya, saya sekali lagi ingin menegaskan bahaswa apa yang penting ialah rekod dan sejarah gemilang skuad Red Giants yang tidak perlu dikorbankan kerana tindakan beberapa individu tidak bertanggungjawab,” kata Azmin.

Tambahnya lagi, isu melibatkan pembiayaan negeri FAS perlu mempunyai pendekatan pemasaran yang komprehensif bagi membolehkan persatuan itu menjana pendapatan yang efisien di masa akan datang sekaligus tidak lagi bergantung kepada kerajaan negeri.

Pada Sabtu, gabungan Kelab Penyokong Selangor menyerahkan memorandum kepada Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah yang memohon perkenan baginda untuk campurtangan dalam kemelut yang melanda pengurusan FAS.

Malah, Tengku Amir Shah melalui laman sosialnya menyarankan supaya FAS menjalani rombakan besar membabitkan struktur keseluruhan organisasi dan juga perlembagaan persatuan bagi memastikan ia relevan dengan perkembangan semasa

- Advertisement -