Beregu campuran Malaysia, Liew Xun dan Nicole Tan, gagal meneruskan kemaraan dalam Kejohanan Badminton ALLIANZ Malaysia SUPER 100 2026 selepas tewas kepada pasangan Indonesia, Rehan Naufal Kusharjanto dan Melati Daeva Oktavianti, pada aksi suku akhir di Arena Tertutup, Kompleks Sukan EduCity, hari ini.

Pasangan Indonesia itu mempamerkan aksi meyakinkan untuk mencatat kemenangan straight set 21-13, 21-6, sekali gus mengesahkan tempat ke separuh akhir kejohanan.

Liew Xun mengakui pengalaman yang lebih luas dimiliki pihak lawan menyukarkan mereka untuk mendapatkan rentak permainan sendiri sepanjang perlawanan.

“Saya rasa mereka lebih berpengalaman dan kami agak sukar untuk mendapatkan rentak permainan sendiri kerana mereka berjaya mengawal tempo perlawanan. Kami perlu lebih bersabar dan mengawal emosi dengan lebih baik ketika berada di gelanggang,” katanya.

Liew turut mengenal pasti aspek rotasi dan kualiti pukulan sebagai kelemahan utama yang perlu diperbaiki bagi membolehkan mereka bersaing dengan pasangan yang lebih berpengalaman.

“Saya rasa kelemahan kami terletak pada rotasi dan kualiti pukulan. Kedua-dua aspek ini perlu kami perbaiki dengan ketara jika mahu bersaing dengan pemain pada tahap seperti ini,” tambahnya.

Sementara itu, Nicole Tan menekankan bahawa keadaan gelanggang, termasuk faktor angin di setiap bahagian gelanggang, serta pengalaman lawan turut mempengaruhi permainan mereka. Beliau turut mengakui komunikasi antara mereka masih boleh dipertingkatkan memandangkan ini merupakan kali pertama mereka bergandingan.

“Keadaan angin di setiap bahagian gelanggang turut memainkan peranan, manakala pihak lawan lebih berpengalaman dan mampu mengekalkan rentak permainan mereka. Memandangkan ini kali pertama kami bergandingan, komunikasi antara kami masih boleh diperbaiki,” katanya.

Walaupun tewas, Nicole melihat perlawanan itu sebagai peluang berharga untuk menimba pengalaman, khususnya apabila berdepan pemain berpengalaman di peringkat antarabangsa.

“Beraksi menentang pemain bertaraf tinggi seperti mereka memberi kami peluang untuk belajar daripada corak permainan mereka. Kejohanan ini juga membantu saya mengenal pasti aspek yang perlu diperbaiki. Kami akan membawa pulang pengajaran ini, terus belajar dan bekerja lebih keras dalam latihan,” katanya.

Dalam pada itu, beregu lelaki negara, Kang Khai Xing dan Lok Hong Quan, turut mengesahkan tempat ke separuh akhir selepas pasangan Chinese Taipei, Chen Bo-Yuan dan Lu Ming Che, menarik diri ketika ketinggalan 0-3 di set pertama.

Kejohanan ALLIANZ Malaysia SUPER 100 2026 berlangsung dari 13 hingga 18 Oktober di Arena Tertutup, Kompleks Sukan EduCity, Iskandar Puteri, Johor.

- Advertisement -