Oleh Muhammad Aiman
Pengendali PKNS Selangor, E. Elavarasan memberi amaran kepada pemainnya agar tidak menjadikan kelab itu sebagai tempat untuk pasarkan diri dan mencari tawaran lumayan dari pasukan lain.
Mengambil contoh situasi yang berlaku musim lalu di mana Gabriel Guerra menjadikan kelab itu untuk mencuri tumpuan Johor Darul Takzim, malah cuba meminta pelepasan ketika masih terikat dengan kontrak, Elavarasan berharap perkara sama tidak dilakukan barisan pemainnya, terutama pemain import Patrick Ronaldinho yang pernah berbuat demikian ketika menyertai Selangor.
âSaya harapkan komitmen penuh dari Patrick kali ini, tiada lagi promosikan diri dan gunakan PKNS sebagai batu loncatan untuk mencari tawaran lebih baik. Keperluan pasukan perlu diutamakan melebihi segalanya.
âDia pernah bermain di bawah saya dan PKNS sebelum ini, jadi saya rasa dia tahu apa yang saya mahu darinya, dan dia juga sepatutnya tidak berdepan sebarang masalah untuk menyesuaikan diri dengan cara permainan kami.
âDitambah dengan pengalaman bermain satu musim penuh dalam Liga Super bersama Selangor, saya berharap kehadiran Patrick memberi manfaat kepada PKNS dalam musim pertama kami kembali ke Liga Super,â kata Elavarasan.
Pemain berusia 25 tahun dari Liberia itu sebelum ini pernah beraksi dengan sang semut merah dari 2013-2015, sebelum menyertai Selangor secara pinjaman pada 2016 dan muncul penjaring terbanyak gergasi merah kuning dengan sembilan jaringan dalam Liga Super dan enam di Piala Malaysia.
Dia adalah antara tiga import yang ditawarkan kontrak baru oleh PKNS selain Gonzalo Soto dari Argentina dan Matias Jadue dari Palestin, manakala Guerra pula membuat keputusan menyertai JDT.
PKNS dilaporkan sedang berunding untuk mendapatkan pemain berusia 22 tahun, Lucas Espindola yang sebelum ini beraksi bersama CA All Boys dalam Liga Divisyen Dua Argentina.
âIanya satu tamparan untuk kehilangan seorang pemain berkualiti seperti Guerra, tapi kita perlu pandang ke depan dan mencari pengganti yang setanding. Lucas telah berlatih bersama kami sejak seminggu lalu, tapi ia masih terlalu awal untuk menilainya. Dia perlukan lebih masa untuk sesuaikan diri dan serasi dengan pemain lain, sebelum keputusan dapat dibuat,â tambah Elavarasan lagi.
Setakat ini finalis Piala FA 2016 itu telah membawa masuk lapan muka baru iaitu Zamir Selamat (Perak), Azmi Muslim (Selangor), Sabre Mat Abu(Kedah), Affize Faisal Mamat (Terengganu), K.Gurusamy (Sarawak), Fauzan Zulkifli (Pulau Pinang), Bobby Gonzales dan S.Sivanesan (Felda United).