farizal.marlias
Farizal Marlias

Oleh Muhammas Aiman

Dua penjaga gol utama skuad kebangsaan, Khairul Fahmi Che Mat dan Farizal Marlias perlu segera keluar dari zon selesa dan bekerja keras mengekalkan prestasi terbaik masing-masing jika tidak mahu posisi nombor satu yang dipegang mereka sejak lebih lima tahun dirampas penjaga gawang lain.

Kebimbangan itu seharusnya wujud selepas jurulatih penjaga gol Harimau Malaysia, Yong Wai Hwang membayangkan kesediaan memberi peluang kepada pemain lain untuk menggalas tanggungjawab selaku benteng terakhir pasukan negara berikutan prestasi meningkat naik ditunjukkan penjaga gol yang berada di dalam pemerhatiannya.

“Ini cabaran yang cukup menarik bagi saya. Saya gembira dengan situasi semasa di mana ramai penjaga gol menunjukkan prestasi positif dan memberangsangkan dalam saingan liga. Ini memberikan saya lebih banyak pilihan berbanding tahun lalu. 

“Memang prestasi ditunjukkan dalam liga akan menjadi pengukur utama, tetapi ia juga penting untuk saya mengenalpasti siapa penjaga gol yang bukan sahaja boleh bermain di tahap yang kita inginkan, dalam masa sama saya perlu melihat perkembangan dan pembangunan jangka panjang pemain itu bersama pasukan kebangsaan,” ujar Wai Hwang.

Wai Hwang tidak menafikan buat masa ini kedudukan Khairul Fahmi yang beraksi bersama Kelantan serta Farizal yang bermain dengan Johor Darul Takzim selaku pilihan utama belum lagi tergugat berdasarkan kepada prestasi semasa mereka.

Namun jurulatih itu menjelaskan bahawa dia telah mengenalpasti beberapa penjaga gol lain yang menunjukkan prestasi cemerlang bersama pasukan masing-masing dan telah mendapat kebenaran dari ketua jurulatih skuad negara, Dato’ Ong Kim Swee untuk memanggil pemain yang terbaik ke kem kebangsaan. 

“Farizal dan Khairul Fahmi kedua-duanya penjaga gol nombor satu kita ketika ini, walaupun Farizal sudah beberapa kali menolak menyertai pasukan atas sebab tertentu. Kemudiannya kita ada Izham Tarmizi (JDT) yang sedang meningkat naik, dia telah beraksi baik dalam dua penampilannya sebelum ini.  

“Lepas tu kita juga ada Khairul Azhan (Selangor), walaupun dia belum membuat penampilan penuh bersama pasukan kebangsaan tapi saya yakin masanya akan tiba. Farhan Abu Bakar seorang lagi pemain muda yang mempunyai potensi dan masa depan yang cerah jadi sudah tentunya kita mahu beri lebih pendedahan dan mengetengahkan pemain-pemain ini.

“Tidak lupa, Norazlan (Razali) dan Zamir (Selamat) juga berada dalam radar kita, soalnya ketika ini adalah memilih masa yang sesuai untuk memanggil pemain yang betul dengan atitud yang betul,” jelas Wai Hwang.

Untuk rekod, Farizal menganggotai skuad kebangsaan sejak tahun 2007, di mana ketika itu dia merupakan pilihan ketiga di belakang Syed Adney Syed Hussin dan Helmi Eliza Elias. Farizal mengambil alih kedudukan selaku penjaga gol nombor satu pada 2009 namun kecederaan menyaksikan tempatnya digantikan oleh Sharbinee Allawee pada 2010.

Sementara Khairul Fahmi pula mula mencuri tumpuan apabila menyerlah bersama skuad B-23 kebangsaan di Sukan Asia Guangzhou 2010 dan merampas posisi selaku penjaga gol utama skuad senior dari Sharbinee ketika Piala AFF Suzuki 2010 dan mengekalkan kedudukan itu sehingga kini.

- Advertisement -