Sekolah Sukan Negeri Pahang, SMK Seberang Temerloh membuka tirai Liga Piala Menteri Pendidikan Malaysia (KPM B14) musim baru dengan langkah kanan setelah menjuarai Piala Sumbangsih dengan menewaskan Sekolah Sukan Negeri Perak, SMK Gunung Rapat 2-0 pada Sabtu.

Dalam perlawanan yang berlangsung di padang SSN Perak di Ipoh itu,  pasukan pelawat beroleh jaringan menerusi penalti disempurnakan oleh ketua pasukan, Ifwat Afnan Azmi pada minit ke-33 dan Rafieq Al Amzar Zulkifeli pada minit ke-65.

Ketua jurulatih SMK Seberang Temerloh, Sahbudin Arof memberi sepenuh kredit kepada barisan pemainnya dan beliau berharap kemenangan ini akan menyuntik semangat buat mereka untuk mengharungi saingan Liga KPM musim ini.

“Kami telah membuat persiapan sejak dua bulan lepas untuk perlawanan ini, jadi saya gembira kerja keras membuahkan hasil dan kami bermula dengan nota positif walaupun dalam keadaan cuaca hujan dan padang becak.

“Sudah tentunya ini memberi lebih keyakinan kepada para pemain untuk meneruskan momentum kemenangan dalam saingan liga nanti,” kata Sahbudin.

Beraksi diiringi hujan renyai sepanjang perlawanan, kedua-dua pasukan tampil dengan aksi seimbang di awal permainan dengan masing-masing saling berbalas serangan.

Tuan rumah terlebih dahulu mencipta peluang menerusi Fazril Faizul Umar pada minit ke-12 diikuti Ilhan Wasim Rosmahadir seminit kemudian namun dihampakan ketumpulan sentuhan penyudah. 

Giliran Seberang Temerloh pula menyerang, menyaksikan mereka dua kali mengegar palang – pertama menerusi percubaan Ifwat pada minit ke-26 dan kemudiannya sepakan percuma Zulfahmi Zulkifli pada minit ke-29.

Pada ketika separuh masa pertama dilihat hampir berakhir tanpa jaringan, pengadil Fairuzi Mat Desa menghadiahkan penalti kepada Seberang Temerloh setelah Zulfahmi dijatuhkan.

Ifwat menyempurnakan tendangan untuk naib juara Liga Super KPM 2016 itu mendahului 1-0 di separuh masa pertama. Tidak banyak gerakan berbahaya terhasil di separuh masa kedua dan Rafieq mengesahkan kemenangan mutlak buat Seberang Temerloh lima minit sebelum tamat setelah memanfaatkan kesilapan pertahanan lawan.

Jurulatih SMK Gunung Rapat, Md Azlan Samsudin mengakui pemainnya gagal menterjemahkan prestasi sebenar mereka.

“Mereka ada semangat nak bermain, tapi saya tidak tahu apa terjadi adakah kerana cuaca, atau gemuruh sebab ramai orang. Mereka nampak gugup dan mental cepat koyak, kita akan buat post mortem dan saya harap mereka akan bangkit untuk hadapi aksi liga,” katanya.

Majlis penyampaian hadiah kepada pemenang telah disempurnakan oleh Pengarah Bahagian Sukan KPM, Dr. Mehander Singh Nahar Singh.

 

KEPUTUSAN

PIALA SUMBANGSIH 2017

 

SMK Seberang Temerloh              2

SMK Gunung Rapat                      0

- Advertisement -