Selepas dua tahun Kejohanan Piala Sultan Azlan Shah tertangguh ekoran penularan Wabak Covid-19, kini kejohanan jemputan terulung itu kembali menemui peminat sukan hoki tanah air di mana tirai kejohanan secara rasminya akan dibuka pada 1 hingga 10 November 2022 di Stadium Hoki Sultan Azlan Shah, Ipoh, Perak.

18 Pemain yang telah disenaraikan oleh Ketua Jurulatih Skuad Senior Lelaki Kebangsaan, A. Arulselvaraj, bakal menerima tentangan daripada Afrika Selatan, Jepun, Korea Selatan, Pakistan dan Egypt dalam misi untuk mencabar kejuaraan bagi edisi ke-29.

Menerusi senarai yang dikeluarkan, Malaysia membariskan dua penjaga gol, lima pemain pertahanan, lima pemain tengah dan enam penyerang dengan Muhammad Amirul Hamizan Azahar bakal meraih caps antarabangsa pertamanya bersama skuad senior kebangsaan.

Menurut Ketua Jurulatih Skuad Senior Lelaki Kebangsaan, A. Arulselvaraj, bagi kejohanan ini tugas selaku ketua pasukan di dalam padang sewaktu perlawanan, diserahkan kepada pertahanan negara, Muhammad Najmi Farizal Jazlan bagi mengemudi pasukan ekoran ketiadaan Kapten Pasukan, Muhammad Marhan Mohd Jalil yang mengalami kecederaan.

“Pemilihan 18 pemain ini adalah berdasarkan kondisi fizikal pemain dan kami barisan kejurulatihan juga ingin memberikan peluang untuk pemain yang mempunyai kekuatan secara fizikal beraksi di kejohanan ini.

“Kekuatan dan kondisi fizikal yang terbaik sangat penting kerana untuk bermain enam perlawanan dalam 10 hari, kondisi dan kekuatan fizikal pemain akan memainkan peranan.

“Tugas selaku ketua pasukan di dalam padang sewaktu perlawanan akan digalas oleh Najmi Farizal namun di luar padang, kami mempunyai kumpulan “leadership” seramai lapan orang yang akan mengambil tanggungjawab sepenuhnya dalam memimpin pasukan.

“Bagi kejohanan ini, kami akan mengambil satu perlawanan demi satu perlawanan dan setiap kali turun beraksi kami akan turun dengan misi untuk menang dan ini juga matlamat barisan pemain.

“Pemain ingin meraih kemenangan dalam setiap perlawanan yang mereka harungi dan kami telah menerapkan di dalam minda setiap pemain bahawa setiap perlawanan yang dilalui merupakan perlawanan akhir untuk mereka,” jelas beliau.

Berikut merupakan senarai 18 pemain Skuad Senior Lelaki Kebangsaan yang akan menggalas cabaran Malaysia di Kejohanan Piala Sultan Azlan Shah 2022, Ipoh Perak.

1 MUHAMMAD HAFIZUDDIN OTHMAN PENJAGA GOL 
2 MOHD ZAIMI MAT DERIS PENJAGA GOL 
3 MUHAMMAD RAZIE ABD RAHIM PERTAHANAN 
4 MUHAMMAD NAJMI FARIZAL JAZLAN PERTAHANAN 
5 MUHAMMAD SYAFIQ HASSAN PERTAHANAN 
6 ZULPIDAUS MIZUN PERTAHANAN 
7 MUHAMMAD AMINUDDIN MOHD ZAIN PERTAHANAN 
8 MUHAMMAD FIRHAN ASHAARI TENGAH 
9 FAIZ HELMI JALI TENGAH 
10 MEOR MUHAMMAD AZUAN HASSAN TENGAH 
11 NIK MUHAMMAD AIMAN NIK ROZEMI TENGAH 
12 MUHAMMAD AMIRUL HAMIZAN AZAHAR TENGAH 
13 MUHAMMAD NAJIB ABU HASSAN PENYERANG 
14 NORSYAFIQ SUMANTRI PENYERANG 
15 MOHAMAD ASHRAN HAMSANI PENYERANG 
16 TENGKU NASRUL IKMAL TENGKU ABD RAHIM PENYERANG 
17 SHELLO SILVERIUS PENYERANG 
18 MUHAMMAD AZRAI AIZAD ABU KAMAL PENYERANG 

Berikut merupakan jadual perlawanan Malaysian Tigers bagi aksi peringkat Liga Satu Kumpulan :

1. SELASA 1 NOV 2022 MALAYSIA LWN KOREA 8:00 MALAM
2. RABU 2 NOV 2022 PAKISTAN LWN MALAYSIA 8:00 MALAM
3. JUMAAT 4 NOV 2022 AFRIKA SELATAN LWN MALAYSIA 8:00 MALAM
4. SABTU 5 NOV 2022 MALAYSIA LWN EGYPT 8:00 MALAM
5. ISNIN 7 NOV 2022 MALAYSIA LWN JEPUN 8:00 MALAM

- Advertisement -