Persekutuan Badminton Dunia (BWF) mengumumkan perubahan besar pada baki kejohanan dalam kalendar 2021, namun status dua kejohanan yang sepatutnya berlangsung di Malaysia masih  ditangguhkan.

Menurut kenyataan BWF hari ini, Masters Malaysia iaitu kejohanan bertaraf Super 500 dalam kalendar Jelajah BWF; Terbuka Malaysia (Super 750) dan Masters Korea Selatan (Super 300), masih dikategorikan sebagai ditangguhkan kerana negara tuan rumah sedang mencari pilihan bagi menganjurkan kejohanan berkenaan.

Antara perubahan ketara adalah penganjuran Piala Sudirman 2021 dan Jelajah Dunia Akhir BWF 2021 yang dipindahkan daripada China berikutan sekatan akibat COVID-19.

BWF meminda tarikh Piala Sudirman kepada tarikh baharu iaitu berlangsung pada 26 Sept hingga 3 Okt di Vantaa, Finland diikuti Piala Thomas dan Uber 2020 yang ditangguhkan selama setahun disebabkan pandemik, akan diadakan di Aarhus, Denmark pada 9 hingga 17 Okt dan Terbuka Denmark (Super 1000) di Odense pada 19 hingga 24 Okt.

Eropah kekal sebagai tumpuan utama dengan Terbuka Perancis di Paris (26-31 Okt) dan Terbuka SaarLouLux di Saarbrucken, Jerman (2-7 Nov) sebelum pusat pelancongan terkenal Indonesia, Bali, menjadi tuan rumah tiga kejohanan berturut-turut iaitu Masters Indonesia (16-21 Nov), Terbuka Indonesia (23-28 Nov) dan Jelajah Dunia Akhir BWF (1-5 Dis).

Musim 2021 akan berakhir dengan Kejuaraan Dunia BWF di Huelva, Sepanyol, yang dijadualkan pada 12-19 Dis.

Perubahan yang dilakukan adalah peluang terbaik dan paling sesuai bagi membolehkan kejohanan badminton dianjurkan semula secara berkala selama enam bulan akan datang.

‘Kitaran ranking seterusnya akan bermula sejurus selepas Sukan Olimpik Tokyo 2020. Kalendar baharu menawarkan platform lebih selamat dan konsisten kepada pemain untuk memperoleh mata ranking dunia dan hadiah wang kemenangan dalam tempoh penting pasca-Sukan Olimpik untuk sukan ini,’ menurut BWF.

BWF turut mengesahkan pembatalan kejohanan Terbuka New Zealand, Terbuka Australia, Terbuka India, Terbuka Hyderabad, Terbuka Vietnam, Terbuka China, Terbuka Jepun dan Terbuka Hong Kong.

 

- Advertisement -