Oleh Muhammad Aiman

Pendahulu Liga Super, Kedah bertandang ke Kota Bharu untuk aksi kelima Liga Super menentang Kelantan pada Sabtu dengan perkhabaran kurang gembira apabila kehilangan tiga pemain tonggak utama yang mengalami kecederaan.

Ketua jurulatih Kedah, Tan Cheng Hoe mengesahkan pasukannya bakal turun membawa misi getir melakar kemenangan pertama di gelanggang lawan musim ini tanpa kelibat dua pemain import Liridon Krasniqi dan Sandro Da Silva, serta pemain sayap Syazwan Zainon.

“Tiga pemain itu tidak menyertai pasukan ke Kota Bharu berikutan kecederaan ketika menentang Kuala Lumpur (Selasa), jadi ia sedikit sebanyak menjejaskan perancangan kami. Saya perlu nilai balik kekuatan pasukan dan akan membariskan pemain muda untuk isi kekosongan mereka.

“Semua pemain menunjukkan komitmen dan kerja keras sepanjang sesi latihan, jadi saya berpendapat siapa pun diturunkan mereka akan dapat menutup sebarang kepincangan ekoran ketiadaan pemain tonggak kita. Masing-masing fokus mahu membawa pulang tiga mata apatah lagi kita belum menang di tempat lawan setakat ini,” ujar Cheng Hoe.

Kedah pada minggu lalu mengambil alih teraju liga setelah membelasah pendahulu sebelumnya Pahang, 4-1 di Stadium Darul Aman – ia adalah kemenangan kedua mereka dalam empat perlawanan dan masih kekal sebagai salah satu daripada tiga pasukan yang masih belum tewas bagi saingan musim 2017.

Cheng Hoe juga mengharapkan barisan serangannya akan terus mempamerkan sentuhan tajam di depan gawang lawan selepas menjaringkan lapan gol dalam dua perlawanan, termasuklah ketika melakar kemenangan 4-2 ke atas Kuala Lumpur dalam saingan Piala FA.

Sementara itu, Kelantan pula tidak merasakan Kedah akan tampil serba pincang berikutan ketiadaan tiga tonggak utama mereka sebaliknya tetap berpendapat skuad Lang Merah itu sebagai berbahaya kerana mempunyai himpunan pemain yang berkualiti.

Aksi di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV pada Sabtu akan menjadi aksi pertama mereka di gelanggang sendiri setelah dua perlawanan sebelumnya menentang Melaka United (21 Januari) dan Johor Darul Takzim (4 Februari) terpaksa ditunda.

Meskipun gagal meneruskan cabaran dalam saingan Piala FA setelah dikejutkan PKNP Selasa lalu, skuad bimbingan Zahasmi Ismail itu masih belum tewas dalam saingan Liga Super setelah merekodkan dua kemenangan ke atas PKNS FC dan Felda United – kedua-duanya di gelanggang lawan.

Musim lalu, mereka tewas kedua-dua perlawanan menentang Kedah dengan keputusan 1-2. 

- Advertisement -