Presiden Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) Datuk Seri Mukhriz Mahathir hari ini mengeluarkan satu kenyataan berbentuk sindiran pedas dipercayai ditujukan kepada kelab bolasepak Johor Darul Takzim berhubung isu perpindahan Akhyar Rashid.

“Nak bayar RM1 pun tak apa asalkan pakai saluran dan proses pertukaran yang patuh kepada undang-undang FAM (Persatuan Bolasepak Malaysia) sendiri,” tulisnya di Instagram peribadi.

Akhyar pada Sabtu sah menyertai JDT dan dia perlu membayar nilai tebus kontrak sebanyak RM210,000 kepada KFA manakala JDT pula perlu membayar RM75,000 kepada KFA sebagai pampasan latihan.

Tegas Mukhriz, bukan isu pampasan tidak memadai yang menjadi pertikaian tetapi beliau beranggapan pengamalan sistem sebegini sebagai satu pencemaran kepada industri bolasepak.

“Jangan anggap KFA yang miskin ini tiada maruah dan membantah pertukaran anak didikan kami kerana wang, tetapi amalan rundingan pintu belakang (backdoor) amatlah tidak sihat untuk bolasepak Malaysia,” ujarnya.

Kontroversi perpindahan Akhyar bermula bulan lalu sejak pemain itu dilaporkan menghantar permohonan perpindahan (transfer request) ke JDT namun KFA tidak mengendahkannya kerana tiada sebarang hitam putih diterima daripada pasukan juara Liga Super itu.

Akhyar bagaimanapun membuat keputusan lebih berani apabila membawa kepada FAM kes tersebut dan mengemukakan tuntutan penamatan kontrak secara sebelah pihak dan ianya diterima oleh FAM yang memutuskan pemain itu perlu membayar nilai tebus kontrak RM210,000 kepada KFA untuk bergelar ejen bebas.

Malah Kedah juga akan menerima pampasan latihan RM75,000 daripada pasukan yang menandatangani Akhyar namun jumlah itu disifatkan tidak berbaloi oleh pengurusan KFA.

Malah KFA menegaskan hanya mereka yang mempunyai hak menamatkan kontrak pemain dan mendakwa Akhyar masih pemain mereka dan memintanya melapor diri di kem Lang Merah pada 1 Januari ini.

Walaupun JDT sudah membuat pengumuman rasmi mengenai kemasukan Akhyar malah ingin membayar tambahan RM25,000 sebagai saguhati kerana membangunkan bakat pemain itu, KFA berkata tiada proses penebusan kontrak yang dibuat oleh pemain dan penamatan kontrak tidak dibuat mengikut peraturan ditetapkan FAM, Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) dan FIFA.

Malah mereka juga bercadang membawa kes tersebut ke Mahkamah Timbangtara Sukan (CAS). MUHD AIMAN 

 

- Advertisement -