Kapten Sri Pahang FC, Sergio Aguero menyifatkan hujan lebat yang melanda Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya pada separuh masa kedua nyata mengubah keseluruhan permainan untuk pasukan masing-masing berpuas hati dengan satu mata dalam aksi Liga Super menentang Selangor FC, semalam.

Sudah tentu, keadaan cuaca tidak akan dijadikan alasan untuk Sri Pahang tetap bekerja keras dalam memastikan mereka tidak tewas meskipun pada akhirnya kecewa apabila tuan rumah berjaya meraih jaringan pada lewat permainan.

Namun, pemain naturalisasi kebangsaan ini tidak menolak mereka agak bergelut untuk terus mengasak pada saat anak buah Tan Cheng Hoe juga terus memberi tekanan di bahagian depan sehinggalah tamat masa perlawanan.

“Sejujurnya saya kecewa juga sebab kita seri pada minit-minit akhir tetapi yang penting adalah kita dapat satu mata menentang salah satu pasukan yang kuat seperti Selangor.

“Hujan turun dengan lebat dan kami berusaha untuk menyesuaikan diri dengan keadaan padang seperti itu untuk cuba bermain sebaiknya sehingga tamat perlawanan.

“Tetapi kami satu pasukan sedang cuba untuk pergi satu demi satu perlawanan dan saya rasa malam ini (semalam) kami bermain dengan lebih baik berbanding sebelum ini.

“Yang penting, selepas ini fokus pasukan adalah cuba untuk layak ke pusingan seterusnya memburu trofi (Piala FA) apabila menentang Perak nanti”, jelasnya.

Sementara itu, pemain lincah Selangor FC, Faisal Abdul Halim pula tetap berbangga dengan satu mata yang diperoleh menerusi jaringan Brendan Gan selain percaya mereka mampu melakukan aksi yang lebih baik sebenarnya.

“Pada saya, kita tetap kena berbangga walaupun hanya dengan satu mata sebab pemain-pemain telah memberikan usaha yang sangat luar biasa.

“Walaupun kita ketinggalan selepas lawan dapat penalti, tetapi kita tetap bangkit untuk kejar balik dan apabila bermain pada waktu petang, memang bukan mudah.

“Tetapi ia satu pengalaman baharu dan kita kena belajar menyesuaikan diri untuk terus memberikan yang terbaik selepas ini”, jelasnya.

- Advertisement -