Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan dan Sumber Manusia Negeri, Datuk Rozi Mamat menyuarakan keyakinannya Harrif Salleh akan mempertahankan dua emas yang dimenanginya di Singapura pada 2015 ketika di Sukan SEA ke 29 Ogos depan.

Pasukan Terengganu Cycling (TSG) yang diberi mandate untuk mengendalikan latihan pusat oleh Majlis Sukan Negara (MSN) telahpun merangka perancangan untuk pelumba pelumba yang akan terlibat dengan Sukan SEA Ogos depan.

“Pelumba-pelumba kita akan ke Melbourne, Australia bagi sesi latihan intensif fasa terakhir dan dijangka akan bertolak pada pertengahan Julai ini dengan pemergian tiga pelumba terlebih dahulu iaitu Harrif Salleh, Zamri Salleh dan Anuar Manan.

“Baki tiga pelumba lagi iaitu Adiq Hussaini, Nur Amirul Fakhruddin Marzuki dan Shahrul Mat Amin, mereka akan menyusuli setelah selesai perlumbaan Le Tour de Flores, Indonesia,” kata Rozi.

Harrif Salleh meraih dua pingat emas menerusi acara lebuh raya lepas beramai ramai dan kriterium ketika di Sukan SEA ke 28 di Singapura pada 2015.

Tambahnya lagi, TSG akan menyertai dua kejohanan iaitu Tour de Flores, di Indonesia bermula 14 hingga 19 Julai dan Jelajah Tasik Qing Hai, di China bermula dari 16 hingga 29 Julai.

Mohd Shahrul Mat Amin, Nur Amirull Fakhruddin Mazuki, Dadi Suryadi, Gong Hyosuk dan Drew William Peters Morey akan beraksi di Indonesia dalam misi mempertahankan jersi juara keseluruhan yang dimenangi Danial Whitehouse tahun lalu.

Manakala bagi Jelajah Tasik Qing Hai, akan disertai Muhammad Adiq Husaini Othman, Maral-Erdene Batmunkh , Cheku Mohd Nazmie Che Ku Romli, Cheku Mohd Syamil Che Ku Romli, Mohd Nor Umardi Rosdi dan Muhamad Zulhilmie Afif Ahmad Zamri.

“Mereka bertolak lebih awal ke sana iaitu semalam bagi menyesuaikan diri dengan cuaca dan altitud tinggi di sana. Ia merupakan kejohanan berstatus 2.HC (hors category) yang paling mencabar di Asia dan bakal disertai oleh pasukan berstatus ‘World Tour’, katanya lagi. – OLEH KU MOHD LUFTI

- Advertisement -