Tiada tekanan buat pemain Amerika Syarikat, Pat Perez apabila menepati ramalan sejak hari ketiga untuk muncul juara CIMB Classic 2017.

Pemain berusia 41 tahun itu menamatkan hari terakhir di lapangan golf TPC Kuala Lumpur, Bukit Kiara hari ini dengan catatan 69 pukulan 3 dibawah par.

“Tidak disangka kerana saya adalah orang terakhir yang menjangkakan kemenangan minggu ini, sebenarnya saya tidak fikirkan kemenangan.

“Sebenarnya saya mahu mengatasi rekod Justin Thomas. Saya cuba melakukan catatan 27 dibawah par. Dengan cuaca panas, saya perlu mencari sesuatu di lima lubang terawal tetapi bogey di lubang 6, saya tidak boleh terlalu selesa,”Kata Perez.

Kemenangan hari ini adalah trofi ketiga buat Pat Perez dalam Jelajah PGA selepas Bob Hope Classic di California pada 2009 dan OHL Classic di Mexico pada November 2016.

Selaku juara, Pat Perez membawa pulang wang tunai 1.26 Juta Dolar US atau RM 5.32 juta serta meraih 500 mata untuk kedudukan Piala Fed Ex.

Selepas empat pusingan, Perez mengumpul 264 pukulan 24 dibawah par, mengatasi pencabar yang juga rakan senegara, Keegan Bradley yang mengumpul 268 pukulan 20 dibawah par.

Biarpun cemerlang dengan birdie di lubang 3 disusuli eagle dilubang 5, Bradley tetap gagal untuk menyamai catatan Perez sehingga ke lubang 18.

Hari terakhir, Keegan Bradley menutup saingan dengan catatan 67 pukulan 5 dibawah par untuk berada di kedudukan kedua.

“Saya bermain baik untuk cuba memenangi kejohanan ini tetapi Pat Perez lebih baik.

“Sejak dua hari lalu segalanya baik untuk saya tetapi di pusingan kedua saya hanya melakukan satu dibawah par dan itu yang menjejaskan peluang,”kata Bradley.

Manakala dua pemain, Xander Schaufelle dan Sung Kang berkongsi di kedudukan ketiga dengan 271 pukulan 17 dibawah par keseluruhan.

Hadiah disampaikan Datuk Seri najib Tun Razak. OLEH KU MOHD LUFTI 

 

Kedudukan pemain CIMB Classic 2017

Hari Keempat

Pat Perez                                  66-65-64-69 – 264 (-24)

Keegan Bradley                        65-71-65-67 – 268 (-20)

Xander Schauffele                    65-67-67-72 – 271 (-17)

Sung Kang                                67-68-65-71 – 271 (-17)

- Advertisement -