aaliyah (3)

Oleh Ku Mohd Lufti

Aaliyah Yoong Hanifah antara 27 atlet ski air wanita yang akan menyertai Kejohanan Dunia 2017 di Wroclaw, Poland bermula dari 22 hingga 29 Julai.

Atlet berusia 13 tahun ini menerima jemputan daripada Persekutuan Ski Air dan Wakeboard Antarabangsa (IWWF) melalui Persekutuan Luncur Air dan Wakeboard Malaysia (MWWF) pada Rabu untuk bersaing dalam acara tricks.

Menerusi kenyataan media oleh MWWF, ia merupakan satu pencapaian besar bagi Aaliyah yang melakar sejarah apabila menjadi atlet ski air termuda dipilih bersaing di kejohanan dunia itu.

MWWF dan Aaliyah mempunyai tempoh sehingga 19 Dis untuk mengesahkan penyertaan pada kejohanan berkenaan.

Pencapaian Aaliyah juga tidak boleh dipandang rendah, meskipun di usia yang muda, beliau memenangi lima pingat emas pada Kejohanan Ski Air dan Wakeboard Asia di Korea Selatan Ogos lepas.

Malah Aaliyah berada di kedudukan ke 21 dunia dalam acara tricks bagi kategori wanita terbuka dan nombor enam dunia bagi bawah 17 tahun.

Aaliyah turut berjaya memintas beberapa pemain ski air terbaik dunia seperti pemain nombor tiga dunia Erika Lang dari Amerika Syarikat dan pemain nombor lima dunia dari Kanada, Whitney McClintock untuk mengesahkan slot di Wroclaw.

“Saya sangat teruja dipilih. Ia penghargaan besar bagi saya kerana ini kali pertama saya dipilih untuk menyertai acara pelbagai kategori di peringkat dunia,” kata Aaliyah dalam kenyataan yang dikeluarkan MWWF, di sini hari ini.

Beliau yang juga pemenang dua pingat emas di Sukan SEA 2015 akan berlepas ke Santiago, Chile pada 29 Disember untuk bersaing pada Kejohanan Remaja Dunia IWWF bermula 3 hingga 8 Januari depan.

Aaliyah juga dijadual beraksi pada Kejohanan Asia Oceania IWWF di Auckland, New Zealand pada 1 hingga 6 Feb, dan Moomba Masters di Melbourne, Australia pada Mac.

Beliau kemudian akan berlepas ke Florida pada April untuk latihan selama enam minggu bersama bekas juara dunia Cory Pickos dan bersaing di Masters Amerika Syarikat pada Mei, dan Sukan SEA 2017 di Kuala Lumpur.

- Advertisement -