KL PERAK

Oleh Muhammad Aiman

Juara 2014, Perak mara ke separuh akhir Divisyen Satu Kejohanan Hoki Piala Razak 2016 setelah mengecewakan juara 19 kali Kuala Lumpur 4-2 dalam aksi Kumpulan B di Stadium Hoki Bukit Jalil pada Selasa.

Kekalahan menyaksikan Kuala Lumpur menduduki tangga tercorot tanpa sebarang mata setelah turut tewas kepada Terengganu pada perlawanan pertama, sekaligus menutup terus peluang pasukan itu untuk mencari gelaran ke-20 pada edisi kali ini.

Setelah melepaskan kelebihan dua gol ketika menentang Terengganu sebelum tewas 2-3, Kuala Lumpur sekali lagi gagal mempertahankan kelebihan satu gol pada perlawanan menentang Perak walaupun mendahului menerusi Mohd Syamim Yusoff pada minit ke-23.

Perak bangkit menyamakan kedudukan menerusi Haziq Syamsul sebelum berakhir separuh masa pertama, dan menambah dua lagi jaringan pantas sebaik babak kedua bersambung menerusi Syed Muhammad Syafiq dan Ashran Hamsani.

Kuala Lumpur cuba bangkit memberi tentangan apabila merapatkan jurang pada minit ke-54 menerusi jaringan Hizzat Sumantri namun Perak memastikan tiga mata milik mereka dengan menambah jaringan keempat sekali lagi menerusi sentuhan Haziq pada minit terakhir.

Satu lagi slot separuh akhir dari Kumpulan B akan ditentukan oleh Terengganu dan Negeri Sembilan yang menamatkan perlawanan dengan keputusan seri 2-2.

Sepertimana perlawanan pertama, Terengganu sekali lagi bangkit dari ketinggalan dua gol untuk menyelamatkan satu mata. G. Kavinkarthik dan Dangerous Lee meletakkan Negeri Sembilan mendahului 2-0 namun Terengganu bangkit mengikat kedudukan menerusi Akhimullah Anuar dan Faizal Shaari pada minit terakhir perlawanan. 

Terengganu akan turun berdepan Perak manakala Negeri Sembilan akan berdepan Kuala Lumpur pada perlawanan terakhir yang akan berlangsung pada Khamis.

Terengganu yang mengumpul empat mata hanya memerlukan seri untuk mengiringi Perak manakala Negeri Sembilan berdepan tugas lebih sukar kerana mereka perlu mencatat kemenangan besar ke atas Kuala Lumpur.

- Advertisement -