Pasukan 100PLUS Liga Premier, Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) serta dua pasukan Liga Super, Perak dan Selangor muncul tiga pasukan terawal mengesahkan tempat di suku akhir Piala Malaysia setelah menewaskan lawan masing-masing pada Sabtu.        

PKNP bimbingan Abu Bakar Fadzim menundukkan T-Team 4-1 di Stadium Proton, Tanjung Malim dalam aksi berlangsung petang sekaligus mengungguli Kumpulan A dengan 10 mata.

Gol buat PKNP dijaringkan oleh Hyeon Woo Kim (m-31), Shahrel Fikri (m-40), Hafiz Ramdan (m-47) dan Vincent Lucas (m-73).

Negeri Sembilan menyalakan peluang dengan melonjak ke tangga kedua Kumpulan A setelah menewaskan Pahang 2-1 di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi menerusi dua jaringan di separuh masa pertama oleh Farderin Kadir dan Khairul Anwar Shahrudin.

Dalam aksi di Stadium Sultan Mizan Kuala Terengganu, Selangor mara setelah jaringan dramatik pada masa kecederaan oleh Rufino Segovia membantu mereka menundukkan Terengganu 3-2 dan mendahului Kumpulan D dengan 10 mata.

Kedua-dua pasukan sebelum itu berbalas jaringan dengan Terengganu beroleh gol menerusi Ismail Faruqi (m-24) dan Kipre Tcheche (m-78) manakala gol Selangor dijaringkan oleh Forkey Doe (m-52) dan Syahmi Safari (m-57).

Johor Darul Takzim berpeluang cerah mengiringi Selangor apabila mengukuhkan cengkaman di kedudukan kedua dengan tujuh mata setelah menewaskan Sarawak 2-0 menerusi jaringan Mohamed Ghaddar dan Safiq Rahim.

Perak pula layak hasil kemenangan 3-1 ke atas PKNS FC menerusi jaringan Yashir Pinto (m-29), Nazrin Nawi (m-61) dan Gilmar Silva (m-75) yang membolehkan mereka menerajui Kumpulan B juga dengan 10 mata.  

Mereka hampir pasti akan disertai oleh Felda United di kelompok lapan terakhir setelah skuad bimbingan B.Sathianathan itu membelasah Kuala Lumpur 4-1 di Stadium Selayang dan mengukuhkan cengkaman di kedudukan kedua dengan lapan mata.

Thiago Augusto terus mencuri tumpuan apabila menjaringkan hatrik ketiganya dalam tempoh kurang sebulan pada minit ke-28, 48 dan 53 manakala Ifedayo Olusegun menyumbang jaringan keempat pada minit ke-57.

Dalam aksi Kumpulan C, juara bertahan Kedah kekal menerajui kedudukan dengan sembilan mata setelah membelasah Melaka United 6-2 di Stadium Hang Jebat.

Pesta gol Lang Merah dimulakan Fakri Saarani seawal minit kelima sebelum Sandro Da Silva menambah dua jaringan pada minit ke-35 dan 39, disusuli jaringan Akram Mahinan (m-45), Ken Ilso Larsen (m-77) dan Akhyar Rashid (m-90).

Di Stadium Uitm, tuan rumah Uitm FC memastikan peluang ke suku akhir masih terbuka setelah mencatat kemenangan 2-0 ke atas pasukan yang berdepan krisis keyakinan, Kelantan.

Kedua-dua jaringan Uitm FC disumbangkan pemain import Akani Sunday Wasiu pada minit ketujuh dan 45. Uitm ketika ini kekal di kedudukan tercorot dengan tiga mata manakala Kelantan di kedudukan kedua dengan enam mata. – OLEH MUHAMMAD AIMAN

- Advertisement -