Atlet pencak silat negara, Siti Shazwana Ajak optimis meletakkan sasaran untuk meraih pingat emas buat negara bagi kategori 60-65 kilogram (kg) pada temasya Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) yang kini hanya tinggal kurang daripada 20 hari sahaja lagi.
Shazwana berkata, “Sudah pasti pingat emas menjadi buruan saya dan saya yakin saya mampu lakukan yang terbaik. Insya-Allah semoga segalanya dipermudahkan semasa sukan SEA nanti,” katanya ketika ditemui di Ballroom Hotel Renaissance, Ampang sebentar tadi (4 Ogos).
Menurut atlet berusia 25 tahun itu, beliau sudah melakukan persiapan rapi hampir 90 peratus terutamanya persiapan dari segi fizikal bagi memastikan sasaran yang diletakkan tercapai pada temasya sukan dwitahunan itu. 
“Untuk fasa terakhir ini, saya lebih fokuskan kepada persiapan mentaliti seperti cara mengawal emosi kerana bagi saya ia sesuatu yang penting terutamanya ketika perlawanan berlangsung.
“Sudah tentu persiapan dari segi fizikal juga perlu kerana buat masa sekarang saya sudah bersedia secara fizikal hampir 90 peratus lagi pula sasaran yang saya letakkan untuk KL2017 ini, sudah tentu saya perlu lebih lagi berusaha,” katanya lagi.
Ditanya mengenai cara lawan saingan, Shazwana berkata, “Melalui kejohanan sebelum ini yang saya pernah sertai, kebanyakan saingan saya sudah kenal dan arif dengan cara dan tindakan mereka ketika beraksi.
“Walaubagaimanapun, saya tetap akan berhati-hati dan akan sentiasa belajar dari cara saingan beraksi. Masih ada masa lagi untuk itu,” katanya mengakhiri perbualan. 
Baru-baru ini, Shazwana yang juga pesilat negara di bawah Program Kita Juara, telah menewaskan pesilat dari Singapura, Nurul Suhaila dalam kelas D Puteri (60-65kg) ketika di Kejohanan Pencak Silat Terbuka Belgium 2017 pada Mei yang lepas. 
Shazwana turut akui beliau sentiasa berasa gementar bagi perlawanan pencak silat ini walaupun sudah beberapa kali menyertai kejohanan besar sebelum ini. 
Atlet kelahiran Sabah itu baru pertama kali menyertai sukan SEA KL2017 dan beliau mula aktif dalam seni mempertahankan diri khususnya pencak silat ini sejak 2012 lagi. – OLEH HUSNIYAH GHAZALI
- Advertisement -