KAMZ5155

PERSOALANNYA siapa mampu menewaskan Andrea Guardini di laluan landai pada edisi ke-20 Le Tour de Langkawi 2015 ini?

Pelumba Itali yang mewakili pasukan UCI Pro Team, Astana itu sekali lagi cemerlang apabila dengan mudah memenangi saingan pecutan terakhir beramai-ramai pada Peringkat 2 dari Alor Setar ke Sungai Petani sejauh 185km hari ini, mengetepikan cabaran pelumba Orica GreenEdge Caleb Ewan dan pelumba Southeast, Jakub Marezcko.

Kelebihan pelumba 26 tahun itu ialah kemampuan mengekalkan rentak pecutan pada jarak yang jauh dan dia sekali lagi melakukannya pada baki 200 meter ke garisan penamat tanpa mampu dipintas Ewan di belakangnya, sekali gus mengetuai kelompok besar dengan catatan 4 jam 30 minit 36 saat, sekalipun berlaku kemalangan kecil di tengah-tengah peloton ketika ke garisan penamat.

Selain dua kemenangan berturut-turut, kejayaan di Sungai Petani turut mengukuhkan rekod kemenangannya kepada 16 peringkat dalam LTdL, sejak kali pertama tampil bersama Farnese-Vini dalam LTdL 2011.

Dengan kemenangan itu, Guardini mengekalkan jersi kuning pendahulu dan klasifikasi mata Raja Pecut kepada 30 mata, 2 mata di depan Ewan, sambil berharap dia dapat mengekalkan kedua-dua jersi itu selama mungkin biarpun pelumba terpaksa menempuh cabaran pendakian sukar pada Peringkat 3 dari Gerik ke Tanah Merah, esok.

“Pasukan saya melakukan tanggungjawabnya dengan mengejar kumpulan pelumba di depan dan bersama-sama beberapa pasukan lain, kami dapat merapatkan jurang dan menangkap pelumba di depan.

“Tetapi keadaan jalan yang basah dan licin menyebabkan saya terpaksa berhati-hati kerana tidak mahu terperangkap dengan sebarang kemalangan. Saya mengekori pasukan Southeast tetapi sentiasa berada di hadapan kerana mahu mengelak bahaya jalan licin itu.

“Apabila melihat peluang, saya keluar dan memecut pada 200 meter terakhir. Saya pasti selepas dua peringkat, Orica akan melakukan sesuatu di laluan landai selepas ini. Saya berharap dapat mengekalkan jersi kuning dan jersi biru ini. Saya tidak gentar dengan laluan esok (Gerik-Tanah Merah) kerana itulah perlumbaan dan semua pelumba perlu menghadapinya,” kata Guardini.

ltdl.2015.logo

Jersi merah Raja Bukit masih kekal dimiliki pelumba UnitedHealthCare, Kiel Reijnen tetapi pelumba TSG, Adiq Husainie Othman memberikan kegembiraan kepada peminat tempatan apabila dinobatkan sebagai pendahulu kategori pelumba terbaik Asia, apabila usahanya berada dalam kumpulan pemecah dan memenangi masa bonus di zon pecutan kedua di Tandop Besar, membolehkannya merampas jersi itu daripada pelumba Hengxiang, Ma Guangtong.

Sebelum itu, Adiq bersama-sama Elchin Asadov (Baku); Liu Jianpeng (Hengxiang); Afiq Othman (NSC); Patria Rastra (Pegasus) dan Loh Sea Keong (Malaysia) melakukan pemecahan dan menjarakkan diri kira-kira 3 minit di depan dan menguasai zon pecutan kedua dan ketiga.

“Taktik saya sama seperti semalam iaitu berusaha menyertai kumpulan pemecah awal dan apabila mengutip mata di zon pecutan kedua, saya mendapatkan nasihat jurulatih Sebastian Duclos dan dia meminta saya kembali ke peloton dan jimatkan tenaga kerana ada peringkat yang sukar esok.

“Saya berharap dapat mengekalkan jersi putih ini selama mungkin, sekurang-kurangnya apabila perlumbaan memasuki peringkat di Terengganu. Memang TSG lebih bersedia pada jelajah kali ini kerana kami menjalani latihan sejak empat bulan lalu.

“Ketiadaan peringkat ke Genting Highlands menjadikan perlumbaan ini lebih menarik kerana saya juga mampu mendaki dengan baik ke Bukit Fraser,” kata Adiq yang mahu membuktikan pelumba tempatan juga mampu berdiri di podium dalam jelajah itu.

Peringkat 3 LTdL 2015 menuju ke Pantai Timur esok apabila pelumba merentasi Banjaran Titiwangsa dari Gerik ke Tanah Merah sejauh 170km tetapi terpaksa mengharungi dua pendakian yang agak panjang berstatus KOM 2 dan 1, sebelum laluan landai ke garisan penamat di Tanah Merah.

- Advertisement -