Pemain negara bagi acara bola jaring telah bersedia sepenuhnya bagi menghadapi Sukan SEA yang berbaki 5 hari lagi sebelum menghadapi perlawanan pertama pada 14 Ogos 2017 menentang pasukan dari Thailand.

Skuad ini telah dilatih oleh jurulatih dari Australia, Tracey Robinson sejak 13 Februari yang lalu. Beliau juga gembira dengan prestasi dari pemain negara yang semakin meningkat. 

“Mereka telah berlatih bersungguh-sungguh setakat ini dan saya dapat melihat keyakinan mereka bermain semasa latihan semakin meningkat”.

“Sekarang kita dalam fasa terakhir sebelum perlawanan bermula dan sedang menguatkan lagi strategi untuk pasukan ini”. ulas Tracey ketika ditemubual.

Skuad ini juga telah berjaya mengalahkan Thailand 75-33 semasa Kejohanan Jemputan Bola Jaring Pra-Sukan SEA bulan lepas sekaligus membuktikan mereka sememangnya merupakan satu pasukan yang kuat dibawah jurulatih Tracey. 

Turut ditemubual ketua pasukan bola jaring negara Nur Syafazliyana Mohd Ali. Beliau berharap agar rakyat Malaysia akan datang beramai-ramai menyokong pasukan negara kerana pasukan ini sememangnya akan bermain bermati-matian pada Sukan SEA nanti.

“Saya percaya penyokong Malaysia amat bersemangat dan tentunya mereka akan datang untuk memberi sokongan sepenuh hati. Itu sudah memadai bagi kami sepasukan”.

“Saya tahu dewan ini nanti turut akan dipenuhi penyokong dari pihak lawan seperti dari Singapura namun ianya tidak akan memberi apa-apa impak kerana kami akan kekal fokus dalam permainan “.

Sukan bola jaring jelas mendapat tumpuan dari seluruh Asia Tenggara apabila tiket bagi acara ini telah habis dijual dan mengambil masa tidak sampai 7 jam pada 4 Julai yang lalu. – OLEH WANIE JEMAIN

- Advertisement -