Pengendali skuad bolasepak B-19 negara, Bojan Hodak berpendapat 10 pemain yang dipanggil memperkuatkan skuadnya bagi persiapan menghadapi kelayakan Kejuaraan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) 2018 di Korea Selatan pada hujung bulan ini tidak akan bermasalah membentuk keserasian dan persefahaman dengan pemain sedia ada.

Bojan hanya mengekalkan 14 daripada skuad yang muncul naib juara di Kejuaraan Bolasepak Asia Tenggara (AFF) bulan lalu justeru wujud kebimbangan rombakan yang terlalu besar dibuat Bojan mungkin menyebabkan pemain-pemain baru khususnya mengambil masa lama menyesuaikan diri.

Tetapi bekas jurulatih Johor Darul Takzim itu berkata, “Memang ia bukan mudah, namun saya percaya dengan tempoh masa yang kita ada ianya boleh diatasi. Pemain-pemain ini datang dari pasukan yang mengamalkan corak permainan berbeza jadi saya faham mereka perlukan masa.

“Tempoh tiga minggu berlatih bersama ini akan kita manfaatkan sebaiknya bagi mencipta keserasian antara pemain baru dan lama seterusnya memahami permainan yang saya terapkan.”

Bojan tidak dapat menyenaraikan beberapa pemain utama yang menyerlah di AFF Myanmar bulan lalu termasuklah bintang Kedah, Akhyar Rashid, Ammar Akmal Alias (Felcra FC), Nik Akif Syahiran Nik Mat dan Syaiful Alias (Kelantan) serta Syafiq Danial Romzi berikutan kesemua mereka masih terlibat dengan saingan Piala Presiden dan Piala Belia.

10 pemain baru yang dipanggil pula adalah K.Thivandaran (Pulau Pinang), Haziq Rahimi Iskandar (Sarawak), Luqman Abdullah (Kuala Lumpur), T.Shaheewaran dan Adam Adruse Azmi (JDT IV), Ridhwan Nadzri dan Syahmi Zamri (SSTMI), Adib Abd Ra’op dan Azarulhisham Anuar (Perak) serta Al Imran Abdul Halim (Uitm). 

Sementara itu, penjaga gol, Azri Abdul Ghani pula menyatakan kepercayaannya betapa pasukan muda negara mempunyai rencah diperlukan untuk meneruskan momentum yang dicipta di AFF Myanmar mengambil kira persiapan yang lebih rapi kali ini.

“Yang penting semua pemain tahu tanggungjawab dan peranan masing-masing. Kami perlu fokus dengan setiap arahan jurulatih dan bekerja keras sewaktu latihan. Memang kita tahu lawan di AFC bukan seperti di AFF tetapi ini masanya untuk kami semua buktikan bolasepak Malaysia sudah semakin maju,” ujar pemain Piala Belia Felda itu.

Di Korea Selatan nanti, Malaysia yang diundi dalam Kumpulan F akan membuka kempen dengan menentang Timor Leste pada 31 Oktober, diikuti Brunei (4 November), Indonesia (6 November) dan tuan rumah pada 8 November.OLEH MUHD AIMAN        

- Advertisement -