Juara dunia dominasi senarai calon Anugerah SAM-100PLUS 2017

Follow by Email
Facebook
Google+
http://www.sports247.my/v1/2018/02/juara-dunia-dominasi-senarai-calon-anugerah-sam-100plus-2017">
Twitter
Pinterest

Persatuan Penulis-penulis Sukan Malaysia (SAM) akan sekali lagi memberikan pengiktirafan kepada seluruh warga sukan negara menerusi penganjuran Majlis Anugerah SAM-100 PLUS 2017 yang akan berlangsung pada 1hb Mac 2018 di Hotel Hilton, Petaling Jaya.

Majlis Anugerah SAM-100PLUS yang gilang gemilang itu akan menjadi platform pengiktirafan terbaik setelah rentetan pencapaian hebat atlet-atlet negara dan pemegang taruh lainnya dalam mewarnai kancah sukan negara sepanjang tahun lalu.

Berdasarkan kepada pencapaian hebat sepanjang 2017, pencalonan Anugerah Atlet Terbaik dan Anugerah Atlet Paralimpik Terbaik kali ini nyata disaingi oleh pencabar-pencabar yang berstatus juara di peringkat dunia.

Untuk Anugerah Atlet Terbaik, sebanyak lima (5) calon atlet disenarai pendek untuk kali ini ialah Mohd Azizulhasni Awang (Berbasikal Trek); Cheong Jung Hoong (Terjun), Wong Wen Son (Wushu) serta trio Duilian wanita (Phoon Eyin, Loh Ying Ting dan Tan Cheong Min) selain pasukan boling tenpin wanita (Shalin Zulkifli, Siti Safiyah Amirah Abdul Rahman, Sin Li Jane, Syaidatul Afifah Badrul Hamidi dan Natasha Roslan).

Anugerah Atlet Paralimpik Terbaik pula menyaksikan saingan empat (4) calon, iaitu Abdul Latif Romly (Olahraga), Muhammad Ziyad Zolkefli (Olahraga), Cheah Liek Hou (Badminton) sertaMuhammad Afiq Afify Rizan dan Muhammad Khairul Adha Rasol (Berbasikal Trek).

Majlis Anugerah SAM-100PLUS 2017 juga turut menyediakan tiga anugerah lain iaitu Atlet Muda Terbaik, Atlet Berpasukan Terbaik dan Persatuan Sukan Dinamik.

Untuk tambah melengkapkan tahun penuh bermakna untuk sukan negara, 100PLUS sebagai penaja utama juga mewujudkan anugerah khas, ‘Anugerah Personaliti Sukan 100PLUS Active’ dengan pengundian terbuka kepada seluruh peminat sukan negara menerusi www.facebook.com/100PLUSactive

Seramai 12 personaliti sukan tersenarai dan orang ramai boleh mengundi bermula 13 Februari 2018 sehingga tarikh tutup pengundian pada 28 Februari 2018.

Majlis Anugerah SAM-100PLUSjuga terus memberi pengiktirafan kepada warga kewartawanan sukan negara menerusi tujuh kategori anugerah yang dipertandingkan, iaitu:

  1. Laporan Berita Terbaik (Media Cetak)
  2. Laporan Berita Terbaik (Media Elektronik)
  3. Ulasan Berita Terbaik (Media Cetak)
  4. Ulasan Berita Terbaik (Media Elektronik)
  5. Laporan Khas Terbaik (Terbuka – Media Cetak dan Elektronik)
  6. Fotografi Sukan Terbaik
  7. Laporan Sukan Permotoran Terbaik (Dengan kerjasama SIC)

Sejumlah lebih 200 penyertaan telah diterima SAM untuk kesemua tujuh kategori yang dipertandingkan.

Untuk anugerah berkenaan, hadiah wang tunai keseluruhan berjumlah RM47,500 ditawarkan, di mana pemenang bagi kategori 1, 3, 5 dan 6, masing-masing akan menerima RM3,000 dan trofi manakala pemenang kategori 2 dan 4 pula masing-masing akan menerima RM4,000 (RM2,000 untuk wartawan dan RM2,000 untuk jurukamera).

Pemenang terbaik keseluruhan untuk kategori kewartawanan sukan akan dinobatkan sebagai penerima ‘Anugerah Siebel’ dengan hadiah wang tunai RM7,000 dan trofi.

Please follow and like us:
0