Pilihan utama, India menjadi halangan terakhir buat skuad badminton negara untuk mempertahankan pingat emas acara berpasukan campuran di Sukan Komanwel Gold Coast 2018.

Kedua-dua pasukan akan berentap dalam aksi final di Kompleks Sukan Carrara pada Isnin setelah menyingkirkan lawan masing-masing di peringkat separuh akhir.

Malaysia, pemenang emas tiga kali berturut-turut di Melbourne 2006, India 2010 dan Scotland 2014 melangkah ke final dengan menewaskan England 3-0 manakala India pula mengetepikan Singapura juga dengan keputusan 3-0.

Pasukan negara diketuai Datuk Lee Chong Wei mengutip mata pertama menerusi Goh V Shem-Tan Wee Kiong yang menewaskan Marcus Ellis-Chris Langridge 21-9, 21-11 disusuli mata kedua oleh Soniia Cheah yang cemas seketika sebelum menundukkan Chloe Birch 21-17, 15-21 dan 21-18.

Chong Wei mengesahkan mata kemenangan dengan menewaskan Rajiv Ouseph 21-16, 21-17.

Dalam aksi final, Malaysia boleh menjangkakan cabaran yang cukup hebat untuk merangkul emas buat kali keempat berturut-turut memandangkan kesemua lawan yang bakal ditentang bukan calang-calang.

Dalam acara perseorangan, Chong Wei akan menentang sama ada pemain nombor dua dunia K.Srikanth atau HS Prannoy. Berdasarkan rekod pertemuan, Chong Wei mempunyai rekod bersih menentang Srikanth namun Prannoy pernah menewaskannya dua kali pada tahun lalu.

Soniia pula tidak diletakkan harapan besar untuk mengutip mata apabila berdepan bekas pemain nombor satu dunia, Saina Nehwal dalam acara perseorangan wanita malah beregu campuran Chan Peng Soon-Goh Liu Ying juga dijangka bergelut menyumbangkan mata. – OLEH MUHAMMAD AIMAN

- Advertisement -