Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK) muncul juara Piala Cabaran Pengerusi Malaysia Airports 2018 selepas menewaskan Sekolah Menengah Sains Hulu Selangor (SEMASHUR) 25-10.

Perlawanan berlangsung di Kompleks Sukan Proton, Proton City, Tanjung Malim, Perak pada Ahad sekaligus melengkapkan kalendar kejohanan ragbi Super Schools 15s musim 2018.

Babak pertama memperlihatkan aksi seimbang kedua dua pasukan, namun SEMASHUR terlebih dahulu didepan seawal minit kedua menerusi try yang disempurnakan Hariz Hamidon untuk mendahului MCKK 5-0.

Namun, pengalaman MCKK di pentas final sebanyak tiga kali nyata dimanfaatkan untuk melakar kebangkitan dengan permainan yang lebih kemas.

MCKK mendahului 17-5 di separuh masa pertama menerusi try Wan Ahmad Irfan Danial, Muhd Nuruddin dan Muhd Harithshah manakala Ahmad Alif Mohd Zaini menyempurnakan conversion di penghujung separuh masa pertama.

Biarpun SEMASHUR bangkit dengan try di babak kedua untuk merapatkan jurang mata 10-17, namun skuad kendalian Mohd Romli Saad terus konsisten apabila menambah tiga lagi mata menerusi penalti yang disempurnakan Muhd Syazani Suhaimi sekaligus menutup sisa perjuangan SEMASHUR.

MCKK dinobat juara Piala Cabaran Pengerusi Malaysia Airports sekaligus merupakan trofi pertama mereka selepas empat kali mencuba.

Trofi disampaikan Dato’ Ir Mohamad Hussin mewakili Pengerusi Malaysia Airports.

Pemain MCKK, Muhd Syazani turut dipilih untuk menerima anugerah Pemain Terbaik Perlawanan Akhir manakala anugerah Most Outstanding Forward bagi musim ini menjadi milik Ahmad Imran Syahir daripada Sekolah Tuanku Abdul Rahman.

Turut hadir, Pengerusi Sime Darby Berhad, Tan Sri Dato’ Sri Dr. Wan Abdul Aziz Wan Abdullah, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Sime Darby Berhad, Jeffri Salim Davidson, Pengurus Besar Korporat Komunikasi MAHB, Nik Anis Nik Zakaria dan Ketua Pegawai Eksekutif IX Telecom, Noor Helmi.

- Advertisement -