Sepanjang kempen Piala Malaysia musim ini Sabah telah dicanang hebat sebagai sebuah pasukan dengan semangat juang tinggi dan berpotensi untuk meneruskan langkahan giant-killer mereka.

Tetapi sejurus tamat aksi separuh akhir pertama dengan kemenangan 5-0 kepada Perak, perjuangan mereka boleh dikatakan sudah mencapai penyudah anti-klimaks.

Pengendali pasukan, Jelius Ating tidak menolak kemungkinan bahawa kekalahan besar itu disebabkan motivasi dan moral pemain yang terganggu akibat masalah gaji tertunggak yang menginjak ke bulan ketiga.

“Secara jujur, kita adalah manusia, apabila mengalami masalah gaji perasaan (terganggu) itu mesti ada. Manusia tidak dapat lari daripada memikirkan masalah dihadapi. Apabila emosi terganggu, adalah sukar untuk perbetulkannya,” kata Jelius lagi.

Mengenai peluang pasukannya meneruskan kemaraan, Jelius berkata enam gol yang perlu dicari pada aksi timbal balik nanti – walaupun bermain di gelanggang sendiri di Likas – bukan tugas mudah dan mengakui kekalahan besar ini sudahpun membunuh semangat barisan pemainnya.

“Ia satu kekecewaan yang cukup besar kerana saya tahu pemain-pemain boleh bermain lebih baik daripada ini. Kita pernah seri dengan Pahang selain menang ke atas Selangor dan PKNP di tempat lawan, jelas ini bukan prestasi sebenar mereka.

“Sudah tentu saya perlu akui tewas besar membunuh semangat pemain-pemain, satu tugas yang sangat mustahil untuk atasi lima gol, lebih-lebih lagi menentang Perak yang mempunyai pemain yang cukup bagus sama ada tempatan ataupun import.

“Kalau setakat satu atau dua mungkin masih ada peluang lagi, tetapi kami akan tetap memberi yang terbaik di aksi timbal balik demi maruah,” ujar pengendali yang pernah beraksi di tiga pentas final iaitu 1996, 2002 dan 2003 ketika zamannya sebagai pemain. MUHD AIMAN 

- Advertisement -