Berhijrah buat pertama kali dari luar Sabah selepas enam musim menabur bakti bersama pasukan negeri kelahiran, sememangnya bukan satu keputusan yang mudah buat pemain tengah, Azzizan Nordin.

Namun demi mahu mencabar diri sendiri serta mahu keluar dari zon selesa, pemain berusia 27 tahun dari Bogawan itu membuat keputusan menerima tawaran yang diberikan Penang FC.

Bakal bersama seorang lagi rakan sepasukan dari Sabah, Hamran Peter, dia berharap musim 2022 akan menjadi satu lagi detik terbaik dalam kariernya apabila bersama Penang FC.

“ Keputusan ini diambil kerana saya sendiri mahu keluar dari zon selesa kerana telah lama saya di Sabah serta mahu mencari angin baharu dalam karier saya.

“ Memang bukan sesuatu yang mudah kerana ini pertama kali saya keluar dari Sabah namun rasa sudah sampai masanya mendapatkan pengalaman bermain dengan pasukan lain.

“ Biarpun sebelum ini tidak pernah terfikir untuk ke pasukan lain namun dalam bola sepak, ada kalanya hijrah itu boleh membantu kita lebih matang sebagai seorang pemain bola sepak profesional.

“ Saya harap kehadiran di Penang mampu diterima oleh penyokong-penyokong di sini dan berharap mampu meneruskan rekod cemerlang yang dilakukan pasukan musim lalu apabila berjaya menamatkan cabaran di tempat ketiga Liga Super, ” katanya.

Azzizan yang bersama Sabah sejak 2016 sebelum itu merupakan pemain skuad Harimau Muda yang turut pernah bermain di Liga Singapura selama beberapa musim.

Dia pernah dianggap antara pemain terbaik di posisi nombor enam dalam saingan Liga Malaysia selepas berjaya membantu Sabah ke Liga Super apabila menjuarai Liga Premier pada musim 2019.

Aksinya yang cemerlang bersama Sabah pernah memikat pengendali skuad kebangsaan, Tan Cheng Hoe, untuk dipanggil bersama pasukan pada tahun 2018 bagi aksi dua perlawanan persahabatan bertemu Chinese Taipei dan Kemboja.

Dalam masa sama, Azzizan mendedahkan Penang FC telah lama mahu memburu khidmatnya iaitu sejak 2019 yang menjadikan dia optimis pilihannya ke skuad Harimau Kumbang adalah tepat.

“ Sebenarnya Penang sudah dua musim lepas mahu saya bersama mereka namun saya belum bersedia untuk meninggalkan Sabah pada saat itu.

“ Namun, minat mereka tidak pernah padam dan pada musim ini mereka sekali lagi menghubungi saya, kali ini saya tergerak hati untuk menerima tawaran mereka.

“ Saya berminat melihat perancangan Penang pada musim depan dan harap mampu segera menyesuaikan diri dengan pasukan serta cuba meraih tempat dalam kesebelasan utama, ” katanya.

- Advertisement -