Shahrom Kalam

Malaysia tiada pilihan selain mencatat kemenangan ke atas Hong Kong dalam aksi Kumpulan B kelayakan Piala Asia pada Selasa ini untuk terus menyalakan peluang layak beraksi di pusingan akhir.

Setelah aksi longlai di laman sendiri yang menyaksikan skuad bimbingan Nelo Vingada itu sekadar mampu mencatat keputusan seri 1-1 menentang Hong Kong dalam aksi pertama pada bulan lalu, tekanan semakin menghimpit kem kebangsaan dengan setiap perlawanan selepas ini dilabel ‘wajib menang’.

Penjaga gol, Hafizul Hakim Khairul Nizam (gambar utama) bagaimanapun percaya Harimau Malaya punyai keupayaan menangani tekanan itu dan akan tampil dengan permainan yang jauh lebih baik bagi membawa pulang tiga mata.

“Saya melihat tidak banyak bezanya antara Malaysia dan Hong Kong. Satu-satunya perbezaan adalah mereka mempertaruhkan ramai pemain naturalisasi, tetapi dari segi kualiti saya percaya pemain kita lebih bagus. Jadi tiada sebab kita tidak boleh menang,” ujar Hafizul. 

Penjaga gol berusia 24 tahun itu muncul wira ketika perlawanan di Stadium Hang Jebat pada 5 September lalu apabila menyelamatkan tendangan penalti pada masa kecederaan untuk membantu pasukan negara yang beraksi sembilan pemain meraih satu mata.

Dalam pada itu, ketua pasukan Perak, Shahrom Kalam pula menyatakan pasukan negara sudah belajar dari kesilapan dan bersedia bangkit bagi memburu kemenangan di tahun 2017.

“Silap kita adalah tidak menyudahkan peluang yang kita dapat, saya yakin jika kita lebih klinikal dalam sentuhan penyudah kita boleh pulang dengan keputusan positif. Kita boleh lakukannya dan tidak perlu terlalu gentar dengan pemain naturalisasi mereka,” kata pemain berusia 32 tahun itu.

Apapun, Shahrom tetap mengakui ianya akan satu perlawanan yang muda lebih-lebih lagi tanpa pemain utama terutamanya pertahanan Rizal Ghazali dan Aidil Zafuan.

Rizal dan Aidil kedua-duanya dilayangkan kad merah ketika seri menentang Hong Kong dan Vingada telah memanggil dua pemain skuad B-22 – Adam Nor Azlin dan Mathew Davies – bagi memperkuatkan pasukan. Pertahanan lain di dalam skuad adalah Khairul Helmi Johari, Amirul Azhan (bek kanan) serta Fitri Omar dan Nazirul Naim Che Hashim (bek kiri).

“Sudah tentu ia akan mengambil masa untuk membentuk keserasian. Pengganti yang dibawa masuk adalah bagus tetapi kekurangan pengalaman di pentas antarabangsa mungkin menjadi satu masalah. Saya berharap Vingada ada penyelesaian, dan saya sendiri telah meminta lebih penekanan diberi ketika latihan.

“Yang bagusnya saya dan Matthew pernah bergandingan ketika di Piala AFF Suzuki, manakala Adam pula rakan sepasukan saya ketika di Perak. Pemain lain baru bersama pasukan sejak dua perlawanan lalu,” katanya.

Malaysia ketika ini berada di tangga tercorot Kumpulan B dengan hanya satu mata manakala Lubnan menerajui kumpulan dengan enam mata diikuti Korea Utara (3 mata) dan Hong Kong (2 mata). – OLEH MUHAMMAD AIMAN

- Advertisement -