Penyerang skuad Bawah 18 tahun negara, Luqman Hakim Shamsudin bakal memulakan karier profesional dalam bolasepak selepas ditawarkan kontrak beraksi bersama kelab Liga Profesional Belgium, KV Kortrijk.

Hakim mengikat kontrak selama lima tahun, bermula 2020 selepas usianya mencecah 18 tahun dan sebelum tempoh tersebut, pemain kelahiran Kota Bharu itu akan menjalani latihan di Cardiff City pada awal tahun depan sebelum berlepas ke Belgium.

KV Kortrijk dan Cardiff City merupakan kelab yang dimiliki ahli perniagaan Malaysia, Tan Sri Vincent Tan mengharapkan Luqman mampu untuk menyesuaikan diri dengan keadaan dan buadaya di Eropah amnya.

“Semua orang memberi sokongan kepada beliau tetapi pada akhirnya, beliau mestilah berdisiplin dengan baik dan berlatih lebih tekun, barulah jurulatih akan pasti meletakkannya sama ada pada permulaan kesebelasan atau sebagai simpanan.

“Terdapat ramai orang akan membantu beliau di sana (Belgium), termasuk jurulatih dan pemain, tetapi kita (rakyat Malaysia) hendaklah memberi semangat kepada beliau untuk maju lebih jauh,” kata Vincent Tan kepada media selepas majlis pengumuman di ibu negara.

Luqman mula menyinar ketika saingan AFC Bawah 16 Tahun dengan muncul penjaring terbanyak kejohanan bersama sama Noah Botic (Australia), Shoji Toyama (Jepun) dengan lima gol.

Malah beliau antara karakter utama ketika Malaysia muncul naib juara AFF B18 di Thailand bulan lalu.

“Saya kena bersedia dari awal terutamanya dari segi budaya, namun dari segi makanan tiada masalah memandangkan saya pernah pergi ke beberapa negara Eropah untuk menyertai beberapa kejohanan di sana. Saya berharap rakyat Malaysia mendoakan kejayaan saya di sana, dan saya berjanji akan buat yang terbaik,” jelas Luqman Hakim.

- Advertisement -