marcelo.serpa
Skuad futsal lelaki negara kendalian Marcelo Serpa telah diundi dalam Kumpulan D pada majlis undian Kejuaraan Futsal AFC 2016 yang telah berlangsung di Tashkent, Uzbekistan.
 
Selain Malaysia, Kumpulan D turut dibarisi juara bertahan, Jepun; naib juara Kejuaraan Futsal AFF 2015, Australia serta Qatar.
Berikut kedudukan 16 pasukan bagi saingan edisi ke-14 yang bakal berlangsung di Tashkent dari 10 hingga 21 Februari 2016.
Kumpulan A: Uzbekistan, Lebanon, Kyrgyzstan, Arab Saudi
Kumpulan B: Iran, Iraq, China, Jordan
Kumpulan C: Thailand, Vietnam, Taiwan, Tajikistan
Kumpulan D: Jepun, Australia, MALAYSIA, Qatar
Malaysia akan memulakan cabaran berdepan Australia pada 11 Februari diikuti aksi bertemu Jepun pada 13 Februari dan Qatar pada 15 Februari.
Jika berjaya muncul dua pasukan teratas Kumpulan D, Malaysia bakal berdepan wakil dari Kumpulan C yang terdiri daripada Thailand, Vietnam, Taiwan dan Tajikistan di suku akhir.
Perlawanan suku akhir dijadual berlangsung pada 17 Februari diikuti aksi separuh akhir pada 19 Februari dan final pada 21 Februari.
Lima pasukan terbaik kejohanan iaitu empat yang layak ke separuh akhir & satu pemenang playoff tempat kelima (di kalangan empat pasukan yang kalah suku akhir) akan layak ke Piala Dunia Futsal FIFA 2016 di Colombia dari 10 September hingga 1 Oktober 2016.
Mengikut rekod sejak edisi sulung Kejuaraan Futsal AFC pada tahun 1999, Malaysia yang layak beraksi pada 10 daripada 13 edisi sebelum ini belum pernah berjaya melepasi saingan peringkat kumpulan.
Pada edisi ke-13 di Ho Chi Minh City, Vietnam pada 2014, Malaysia terlepas peluang untuk mara ke suku akhir selepas menduduki tangga tercorot Kumpulan C di belakang Thailand, Lebanon dan Taiwan.
Sebagai persiapan awal, skuad futsal negara telah melapor diri di Wisma FAM, Kelana Jaya, semalam untuk kem latihan pusat di Kompleks Sukan Negara Panasonic, Shah Alam sehingga 12 Disember ini sebelum berlepas ke Doha, Qatar untuk dua aksi persahabatan menentang Qatar pada 14 dan 16 Disember ini.
Dari Doha, skuad negara akan terus terbang ke Changshu City, China untuk menyertai Kejohanan Jemputan Antarabangsa 4-Negara dari 17 hingga 21 Disember ini.
KOMEN KETUA JURULATIH FUTSAL LELAKI MALAYSIA, MARCELO SERPA
“Sudah tentu sasaran awal ialah untuk membawa Malaysia layak ke suku akhir Kejuaraan Futsal AFC buat kali pertama. Tapi saya sedar kami diundi dalam kumpulan yang agak sukar kali ini bersama-sama Jepun, Australia dan Qatar.
“Jepun sebagai juara bertahan adalah pasukan paling baik dalam kumpulan ini. Tapi kami pernah bertemu Jepun pada dua aksi persahabatan di Oita, Jepun pada September lalu (tewas 6-5 dan 7-1) yang mana kami mampu beraksi dengan baik. Apa pun Jepun tetap pasukan yang lebih berpengalaman dan memiliki pemain lebih baik.
“Australia pula, kami sudah beberapa kali bertemu di Kejuaraan Futsal AFF termasuk pada separuh akhir edisi 2015 di Bangkok pada Oktober lalu (tewas 6-2). Kami bermula baik pada perlawanan itu tetapi selepas ketinggalan 2-0, Australia tampak lebih baik. Tapi jika kami mempersiapkan pasukan lebih baik kali ini, peluang tetap ada untuk menewaskan mereka.
“Qatar juga pernah kami jumpa beberapa tahun lalu tetapi kini mereka dikendalikan jurulatih baharu dan dibarisi empat atau lima pemain naturalisasi dari Brazil dan Mesir. Kami akan bertemu Qatar pada dua aksi persahabatan pada 14 dan 16 Disember ini, sudah tentu kedua-dua pasukan dapat menilai kekuatan dan kelemahan masing-masing. Tapi tetap satu persiapan yang baik.
“Apa pun apabila diletakkan dalam kumpulan yang sukar seperti ini, pasti ia akan memberi satu motivasi tambahan jika pasukan dapat melepasinya dan akan lebih bersemangat menghadapi lawan di suku akhir.”
- Advertisement -