Kelab dari Thailand, Manang City Voyagers semakin hampir untuk mengesahkan tempat di separuh akhir Sepaktakraw League (STL) Champions Cup setelah mencatat kemenangan ke atas PDRM Defenders dalam aksi berlangsung di Dewan Majlis Perbandaran Serdang Jaya, pada Sabtu.

Ia adalah kemenangan kedua buat pasukan bimbingan Aswadi Abdullah itu setelah terdahulu menewaskan Kelantan Warriors 2-0 (21-8, 21-12) dalam aksi pembukaan Kumpulan B pada Jumaat sekaligus membolehkan mereka unggul di kedudukan teratas dengan empat mata.

Trio gandingan Pornthep Tinbangbon-Yotsawat Uthaijaronsri-Wuttichai Daorueangnoi sekali lagi mempamer penguasaan gelanggang yang mantap selain ketajaman servis dan libasan padu untuk mencatat kemenangan 2-0 (21-14, 21-16) ke atas gandingan Nazri Hafiz-Syahmi Hussin-Hafiz Izudin Wahab.

Ia adalah kekalahan kedua buat PDRM Defenders setelah turut kecundang kepada Kuala Lumpur Thunder sekaligus menyaksikan peluang mereka ke separuh akhir semakin tipis.

Untuk rekod, STL Champions Cup yang dianjurkan pertama kali berlangsung membabitkan lapan pasukan yang dibahagikan kepada dua kumpulan dan dua pasukan teratas setiap kumpulan akan melangkah ke separuh akhir.

Sementara itu, dalam aksi Kumpulan A pula, Melaka Titans mencatat kemenangan pertama dengan menundukkan kelab dari Indonesia, Andalas Islander dengan keputusan 2-1.

Juara Divisyen Satu STL itu yang kecundang aksi pembukaan kepada Penang Black Panthers, sedar hanya kemenangan boleh menghidupkan peluang ke separuh akhir.

Mereka tampil dengan permainan lebih bertenaga di mana gandingan Shahidan Md Ali-Khairol Zaman Hamir Akhbar-Zarlizan Zakaria dilihat lebih tenang dan meyakinkan terutama ketika melakukan servis.

Regu Andalas Islander, Bratha Kusuma-Pebi Syaputra-Zulfahmi cuba bangkit memberi tentangan dengan mengheret perlawanan ke set penentuan namun akhirnya akur dengan kekalahan 18-21, 21-13, 11-21 sekaligus tewas buat kali kedua – mereka sebelum ini tewas kepada Perak Bison. – OLEH MUHAMMAD AIMAN

 

Keputusan (25 November) :

Kumpulan A : Melaka Titans mng Andalas Islander (2-1; 21-18, 13-21, 21-11)

Kumpulan B : Manang City Voyagers mng PDRM Defenders (2-0; 21-14, 21-16)

- Advertisement -