Atlet lompat tinggi, Nauraj Singh Randhawa beroleh tonik terbaik menjelang Kejohanan Olahraga Dunia di London apabila merangkul gelaran Eropah pertamanya dengan menjuarai Cabaran Olahraga Antarabangsa Catalunya di Barcelona, pada Khamis.

Nauraj tidak perlu bersusah payah mengerah kudrat, sekadar melakukan lompatan 2.21m mengatasi rakan sepelatihnya Brandon Starc dari Australia (2.15m) di kejohanan itu yang merupakan kejohanan pertama dari empat kejohanan disertainya sebelum Kejohanan Dunia bermula pada 4 Julai ini.

Ia adalah kejuaraan ketiga buat atlet kelahiran Johor itu tahun ini setelah turut memenangi Terbuka Canberra pada Mac dan Terbuka Singapura pada April.

Dalam kemaskini terbaru di twitter peribadinya, Nauraj berkata, “Ia adalah kemenangan yang manis buat saya di Barcelona tetapi tiada apa untuk saya banggakan dengan catatan 2.21m. Masih ada ruang penambahbaikkan dan saya perlu bekerja keras.”

Untuk rekod, Nauraj adalah pemegang rekod kebangsaan dengan catatan 2.30m yang dilakarnya ketika memenangi Terbuka Singapura yang sekaligus melayakkannya beraksi secara merit di London.

Mei lalu, atlet berusia 25 tahun itu berkesudahan di tempat keempat di Cabaran Dunia IAAF di Kawasaki, Jepun selain dua kali menamatkan cabaran selaku naib juara di Terbuka Australia dan Shizuoka. 

Pertandingan seterusnya buat Nauraj adalah di Castellon, Sepanyol pada Selasa sebelum dia bertandang pula ke Jerman untuk mengambil bahagian di dua lagi pertandingan.

Selepas beraksi di Kejohanan Dunia, Nauraj akan pulang ke tanah air untuk menjayakan pula misi hatrik pingat emas di temasya Sukan Sea Kuala Lumpur 2017. – OLEH MUHAMMAD AIMAN

- Advertisement -