nicol

Oleh Muhammad Aiman

Ratu skuash, Dato’ Nicol David akan mengetuai cabaran negara di Kejohanan Skuash Terbuka Beregu Malaysia yang akan berlangsung minggu ini, di Pusat Skuash Nasional Bukit Jalil. 

Pemain berusia 33 tahun itu akan beraksi dalam dua acara iaitu beregu wanita bergandingan dengan pemain remaja meningkat naik, S.Sivasangari serta beregu campuran bergandingan dengan pemain perseorangan lelaki nombor satu negara, Nafiizwan Adnan. 
Bagi beregu wanita, gandingan Nicol-Sivasangari diletakkan sebagai pilihan kedua di belakang gandingan adik-beradik Delia dan Rachel Arnold, manakala dalam acara beregu campuran, Nicol dan Nafiizwan merupakan pilihan pertama. 
Sementara itu, bagi kategori beregu lelaki pula, gandingan Nafiizwan-Ivan Yuen, Syafiq Kamal-Ng Eain Yow, Md Adeen Idrakie diharapkan dapat memberi tentangan sengit kepada pilihan utama dari Australia, Rex Hedrick-Zac Alexander. 
“Barisan kejurulatihan kita akan melihat dan menilai bagaimana pemain-pemain ini bergandingan. Kejohanan ini adalah satu daripada platform persiapan kita untuk menghadapi Sukan Sea KL 2017 dan juga Sukan Komanwel di Australia 2018,” ujar Pengarah Kejurulatihan Persatuan Raket Skuash Malaysia, S. Maniam. 
Untuk rekod, Malaysia hanya pernah dua kali meraih pingat dalam acara beregu di Sukan Komanwel – pingat perak di Manchester, England pada 2002 dan New Delhi, India pada 2010, kedua-duanya menerusi gandingan Nicol dan Ong Beng Hee. 
- Advertisement -