Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dengan ini memaklumkan secara rasmi bahawa pertandingan bola sepak wanita kebangsaan, Piala Tun Sharifah Rodziah (PTSR) 2021 adalah dibatalkan susulan keputusan dibuat oleh Jawatankuasa Bola Sepak Wanita FAM.

Ia selepas mengambil kira situasi semasa berkaitan pandemik COVID-19, hal-hal pengoperasian serta keselamatan kesemua pemain, pegawai, petugas perlawanan dan individu yang terlibat sama ada secara langsung atau tidak langsung dengan penganjuran pertandingan tersebut.

Sama seperti pembatalan Piala Presiden, Piala Belia dan CUCKOO Malaysia Premier Futsal League 2021 yang telah diumum sebelum ini, keputusan ini bukanlah sesuatu yang mudah memandangkan isu COVID-19 yang berlarutan telah memberi impak yang amat ketara kepada industri bola sepak termasuk pembangunan teknikal pemain.

Walau bagaimanapun, sebagai sokongan kepada inisiatif pihak kerajaan dalam membendung penularan wabak ini, FAM memutuskan untuk tetap memberi sokongan dengan memberi kerjasama dan patuh kepada arahan daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

FAM juga berasakan keputusan ini akan dapat memberi lebih ruang kepada pasukan-pasukan untuk membuat persediaan lebih terperinci pada masa akan datang. Setiap pasukan adalah bebas untuk mengekalkan pasukan masing-masing, malah FAM amat berbesar hati untuk memberikan khidmat nasihat serta sokongan kepada semua yang terlibat terhadap usaha pembangunan bola sepak wanita di peringkat negeri.

FAM ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan ribuan terima kasih kepada kesemua pasukan yang telah memberikan komitmen yang tinggi dalam usaha dan perancangan FAM sebelum ini. – www.fam.org.my

- Advertisement -