Selepas lebih setahun skuad senior negara kempunan meraih sebarang kemenangan di gelanggang keramat di Bukit Jalil, Tan Cheng Hoe mengembalikan semula semangat dan kepercayaan peminat bolasepak di Malaysia meskipun ramai yang ‘memperkecilkan’ perlawanan menentang Bhutan malam tadi.

Cheng Hoe yang mengambil alih tugas sebagai pengendali skuad Harimau Malaya pada Disember tahun lalu menerima kritikan susulan keputusan seri ke atas Mongolia.

Namun ia dibalas dengan kemenangan selesa 7-0 ke atas Bhutan sekaligus menjadi kemenangan pertama bekas pengendali Kedah itu.

Meskipun pasukan yang dilabel semi pro, pemain negara boleh dipuji kerana membuktikan mereka tetap menjanjikan aksi yang menarik dengan penguasaan padang hampir maksima sepanjang perlawanan.

Tan Cheng Hoe menyifatkan kemenangan malam tadi untuk penyokong bolasepak di Malaysia. Malah beliau melihat pemain pemain begitu dahagakan gol sepanjang perlawanan.

Empat jaringan Mohd Zaquan Adha Abdul Razak, manakala Wan Zack Haikal Wan Nor, Muhd Irfan Zakaria dan Muhd Syafiq Ahmad masing masing menyumbang satu gol untuk menamatkan badi kekalahan selepas 12 perlawanan.

Disebalik kejayaan yang dilakar malam tadi, masa untuk bergembira sudah tamat, Malaysia tidak perlukan lagi perlawanan antarabangsa semi pro, sebaliknya memberi tumpuan terhadap pasukan yang lebih baik.

Ranking mungkin memberi kesan terhadap pemilihan pasukan untuk aksi persahabatan antarabangsa ‘A’, Tan Cheng Hoe dan barisan kejurulatihan serta FAM yang kini bergerak tanpa Tunku Ismail  selaku peneraju utama badan induk itu untuk mencari pasukan yang lebih kompetitif.

Berdasarkan ranking semasa, Laos merupakan negara dari rantau Asia Tenggara yang berada dalam ranking yang rendah berbanding Malaysia.

Tidak perlu lagi menoleh ke belakang untuk mengungkit hal hal lama, ia akan tetap diingati pelbagai pihak.

Apa yang penting, dengan masa yang ada, KPI pertama yang perlu di jaga oleh Tan Cheng Hoe adalah menamatkan badi kekalahan Malaysia di pentas Piala AFF yang akan berlangsung hujung tahun ini.

Barisan pemain yang rata ratanya pemain muda perlu dikekalkan dan perlu diasah dengan formula terbaik serta pendedahan yang lebih mantap untuk membentuk keyakinan khususnya selain membentuk keserasian dan kemahiran individu.

 

 

- Advertisement -