Ratu gimrama negara, Koi Sie Yan mahu meneruskan gemilang diciptanya di Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 yang menutup tirai pada 30 Ogos lalu di temasya Sukan Komanwel Gold Coast, Australia yang akan berlangsung tahun depan.

Sie Yan menjadi antara atlet negara paling menyerlah di temasya dwitahunan itu apabila memenangi empat pingat emas  dengan mengungguli apparatus gelung, belantan, individu keseluruhan dan berpasukan wanita.

Atlet berusia 18 tahun itu mengakui ianya bukan mudah untuk mengulangi rentak sama di pentas Sukan Komanwel namun bersedia bekerja keras demi memastikan Malaysia memenangi emas yang kali terakhir digenggam oleh Elaine Koon pada edisi 2010.

“Sudah tentu itu adalah impian saya yang seterusnya, tetapi Kanada terutamanya mempunyai ramai gimnas berwibawa justeru penting untuk saya tidak terus terbuai, sebaliknya fokus tingkatkan prestasi supaya dapat berada dalam tahap terbaik apabila Sukan Komanwel berlangsung nanti,” ujarnya yang belum pernah membuat penampilan di temasya sukan itu.

Mengenai perancangan seterusnya, Sie Yan berkata, “Kami (skuad gimrama) telah diberi cuti selama seminggu dan akan kembali menyambung latihan di Bukit Jalil bersama jurulatih (Lidia Legotina) dan kemudiannya beberapa siri latihan di luar negara antaranya Russia dan Uzbekistan.”

Pencapaian terbaik Malaysia dalam acara gimrama di Sukan Komanwel adalah pada edisi New Delhi 2010 di mana Elaine tampil cemerlang memenangi satu emas (gelung), satu perak (bola) dan dua gangsa (riben dan belantan).

Empat tahun sebelum itu di edisi Melbourne 2006, Durratun Nasihin Rosli memenangi empat perak manakala Lim Wen Chean menyumbang dua gangsa.   

Pada edisi 2014 di Glasgow, skuad gimrama negara sekadar membawa pulang satu perak menerusi Wong Poh San (riben) serta dua gangsa menerusi Poh San (gelung) dan acara berpasukan. – OLEH MUHAMMAD AIMAN

- Advertisement -